Persidangan Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-15 di Bangunan Annex, Shah Alam pada 1 Mac 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sidang dewan negeri bermula esok, ikuti siaran langsung di platform Media Selangor

SHAH ALAM, 3 JULAI: Orang ramai boleh mengikuti siaran langsung sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) yang dijadual dua minggu mulai 4 Julai melalui YouTube SelangorTV atau Facebook Media Selangor.

Laporan berita perbahasan wakil rakyat juga boleh dicapai menerusi portal selangorkini.my secara harian yang turut meliputi edisi bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris setiap hari.

Menurut Speaker Lau Weng San, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dijadual membentang Kajian Separuh Penggal Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dalam sidang tersebut.

Katanya, pembentangan itu termasuk Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA) dan Projek Wilayah Pembangunan Bersepadu Selangor Selatan (IDRISS) dan Gerbang Maritim Selangor (SMG).

RS-1 yang dibentang dua tahun lalu menggariskan 14 petunjuk makro bagi mencapai keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan peningkatan kualiti kehidupan rakyat.

Pelan yang bertujuan menangani cabaran semasa digerakkan menerusi empat teras, lima pemangkin dasar dan 262 projek serta inisiatif melalui 19 pemacu perubahan.

Empat teras strategik RS-1 meliputi pengukuhan sektor ekonomi, membina kesejahteraan rakyat dan keterangkuman sosial, memacu agenda kelestarian serta peningkatan kecekapan tadbir urus.

Weng San juga menambah istiadat angkat sumpah wakil rakyat baharu Kuala Kubu Bharu Pang Sock Tao yang menang pilihan raya kecil pada Mei juga diadakan dalam persidangan kali ini.

“Selain itu, isu yang mendapat tumpuan pada penganjuran program Ahli Dewan Negeri (ADN) Muda Selangor berhubung penjaja asing juga akan dibawa,” katanya lagi.

Usul dalam ADN Muda pada Julai dipilih untuk dibahas dalam sidang dewan. Program tersebut diadakan dengan kerjasama Persatuan Pendemokrasian Sosial dan Ahli Parlimen Belia Selangor.


Pengarang :