KUALA LUMPUR, 26 JULAI: Perbadanan Teknologi Maklumat Ekonomi Digital Selangor (Sidec) dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Cyberview Sdn Bhd hari ini untuk pembangunan industri semikonduktor di Cyberjaya.
EXCO pelaburan berkata kerjasama membabitkan Sidec dengan Cyberview untuk menyokong pembangunan IC Design Park 2.0 di Cyberjaya yang membabitkan nilai pelaburan yang tinggi.
Jelas Ng Sze Han, MoU antara PNSB dan Cyberview pula tertumpu pada pembangunan taman industri dan ekosistem di Cyberjaya.
“Pembangunan IC Design Park 1.0 yang akan dirasmikan pada bulan Ogos ini telah lengkap, jadi Kerajaan Negeri merancang membina fasa kedua melalui MoU antara Sidec dengan Cyberview.
“Selain itu, Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) turut menyerahkan surat penganugerahan projek (LOA) buat Megajana Sdn Bhd yang merupakan anak syarikat Cyberview untuk membekalkan perkhidmatan sistem penyejuk di ibu pejabatnya yang dalam proses pembinaan,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas majlis meterai MoU tersebut yang disaksikan oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada Sidang Kemuncak Niaga Selangor (SIBS) di sini hari ini.
Pada majlis sama, UMW Development Sdn Bhd turut menandatangani perjanjian jual beli (SPA) bersama syarikat Xinbo New Materials Sdn Bhd membabitkan nilai pelaburan sejumlah USD 70 juta.
“Melalui perjanjian SPA ini, Xinbo akan membekal bahan aluminium kepada panel solar berpengkalan di UMW Development.
“Semua kerjasama yang dicapai hari ini merupakan petanda baik ekonomi Selangor semakin berkembang khusus dalam semikonduktor,” ujar Sze Han.