Reka bentuk Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) yang dipamerkan sempena Hari Jersi Selangor dan Pameran Awam Pembangunan KSSA di SACC Mall, Shah Alam pada 28 Januari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Stadium Shah Alam dilengkapi padang boleh alih, arena pelbagai acara

SHAH ALAM, 2 JULAI: Pembinaan kemudahan canggih termasuk padang boleh alih bakal mengangkat Kompleks Stadium Shah Alam (KSSA) sebagai arena pelbagai acara sukan dan aktiviti.

Ketua pegawai eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berkata padang boleh alih mengelak kerosakan rumput serta memudahkan penyelenggaraan untuk penganjuran sukan seperti badminton, hoki dan tenis, lapor Berita Harian.

“Ruang fleksibel membolehkan KSSA disesuaikan dengan pelbagai keperluan sebagai tarikan. Ia termasuk kawasan permainan kanak-kanak, ruang rehat keluarga, aktiviti interaktif dan pendidikan, pusat untuk belia serta akses bagi orang kurang upaya dan warga emas.

“Selain itu, bazarena (pasar pagi) di kawasan stadium pada setiap hari Ahad dikekalkan serta dimodenkan supaya lebih teratur,” kata Saipolyazan M Yusop.

Beliau berkata stadium baharu itu boleh memuatkan antara 40,000 hingga 45,000 penonton, angka ideal dengan perkembangan semasa.

“Istimewanya, stadium ini berbumbung, berhawa dingin dan setiap tempat duduk mempunyai pemanas dengan suhu selesa,” katanya.

Beliau berkata fasa pertama KSSA membabitkan pembinaan stadium, plaza parkir dan terminal bersepadu yang dijangka siap akhir 2026 serta boleh terus digunakan.

Fasa kedua pula dijadual siap 2028 merangkumi pembangunan komersial seperti sayap sukan, sayap belia, teater tertutup, ruang niaga dan kawasan rekreasi.

Fasa ketiga adalah kemudahan tambahan sebagai pelengkap seperti hotel yang dijangka siap akhir 2029.

 


Pengarang :