AGENDAJENAYAH

Suami isteri maut, anak cedera kemalangan dua kenderaan

KUANTAN, 26 JULAI: Suami isteri maut selepas kereta dinaiki bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda dalam kemalangan di KM350 Jalan Kuala Lumpur–Kota Bharu, berhampiran lampu isyarat Jalan Lingkaran Tengah (CSR) Raub, Batu 3, Lipis malam tadi.

Ketua Polis Daerah Raub Supt Mohd Shahril Abdul Rahman berkata nahas 10.20 malam itu menyebabkan Muhamad Anasar Kamarozaman, 34, pengawal keselamatan sekolah dan isterinya, Zalina Ali, 40, pembantu kedai kasut meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata dua anak pasangan itu yang turut berada dalam kenderaan jenis Proton Wira yang dipandu mangsa serta pemandu pacuan empat roda terbabit mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Raub untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika suami isteri bersama dua anak mereka dalam perjalanan balik ke Dong dari arah susur keluar CSR Raub.

“Ketika kereta mereka hendak meneruskan perjalanan selepas lampu isyarat bertukar hijau, tiba-tiba datang pacuan empat roda dari arah Lipis hendak ke Raub melanggar kereta mangsa dari arah tepi kanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada pemandu pacuan empat roda melanggar lampu isyarat merah dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

– BERNAMA


Pengarang :