Kenderaaan nombor pendaftaran negara jiran mengisi minyak ketika tinjauan di stesen minyak berhampuran Bukit Kayu Hitam pada 21 Jun 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Subsidi diesel bersasar atasi isu tiris puluhan tahun, hasil dipulang kepada rakyat

PUTRAJAYA, 2 JULAI: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata Kerajaan MADANI tidak akan sesekali berundur meskipun berhadapan kritikan terhadap tindakan tidak popular, antaranya berkaitan penyasaran subsidi diesel dan pembanterasan rasuah secara tegas.

Beliau berkata langkah itu penting bagi mengukuhkan asas ekonomi negara memandangkan hasil negara ‘disakau’ dan subsidi pula tidak disalurkan kepada golongan sasar.

Perdana Menteri berkata penyasaran subsidi diesel perlu memandangkan aktiviti penyeludupan bahan api itu berleluasa sejak puluhan tahun dan hasil subsidi dibeli untuk kegunaan negara lain.

“(Kita) tak boleh mengenepikan keresahan rakyat kalau terbeban masalah rakyat. Maka hasil yang diperoleh itu harus dipulangkan kepada rakyat.

“Sebab itu kita harus istiqamah untuk memberi penjelasan walaupun kadang-kadang menghadapi sedikit kesukaran,” katanya pada perhimpunan bersama warga Kementerian Kewangan, di sini hari ini.

Anwar berkata kerajaan dilontarkan dengan pelbagai dakwaan antaranya menjual negara, ejen Israel dan Yahudi.

“Saya sering kali jawab sikit.. tapi saya tak peduli kerana saya fikir kita punyai tugas. Tidak mudah dalam negara ini kerana politik kebencian terlalu menebal,” katanya.

Perdana Menteri turut menyuarakan kekecewaan kerana fakta tidak dipedulikan sama sekali dalam kritikan.

“Tak ambil gaji, dihina, banteras rasuah dengan tegas pun dihina, baik dengan Hamas pun dihina, dengan Blackrock pun dia kata ejen Yahudi. Fakta, tidak dipedulikan sama sekali.

“Jadi yang diutarakan ialah kebencian. Apakah ini harus mengganggu kita? Tidak,” kata Perdana Menteri.

— BERNAMA

 

 


Pengarang :