DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menerima cenderamata kenangan berupa sebuah tayar terakhir keluaran Goodyear di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam pada 2 Julai 2024. Foto Facebook Selangor Royal Office
SELANGOR

Sultan berkenan terima cenderamata kenangan Goodyear

SHAH ALAM, 4 JULAI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor berkenan menerima menghadap delegasi pengurusan tertinggi Goodyear Malaysia di Istana Bukit Kayangan di sini Selasa lalu.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj turut berkenan menerima cenderamata kenangan berupa sebuah tayar terakhir keluaran syarikat tayar global itu di Shah Alam.

“Tayar Goodyear sememangnya meninggalkan kenangan tersendiri kepada DYMM Sultan Selangor kerana tayar jenama berkenaan yang digunakan oleh Baginda semasa menyertai Rali Peking (Beijing) ke Paris pada 1997 dan 2007 serta Rali Road to Mandalay pada 2015.

“Titah Baginda, berdasarkan pengalaman menggunakan tayar Goodyear di ketiga-tiga rali berkenaan, Baginda tidak berdepan masalah besar ketika pemanduan beribu kilometer itu dan sukacita dengan prestasi serta kualiti jenama berkenaan,” tulis Selangor Royal Office di Facebook.

Sultan Sharafuddin juga menzahirkan rasa sedih kerana Goodyear memutuskan untuk menghentikan operasi pengeluarannya pada 30 Jun lalu.

Mac lalu, Baginda memuji Goodyear atas sumbangannya kepada ekonomi Selangor dan Malaysia, serta sektor automotif sejak 52 tahun lepas.

Penjualan produk Goodyear di Malaysia bermula pada 1929 melalui pejabat Goodyear Sales Company yang ditubuhkan di Singapura, manakala kilang di Shah Alam dibuka pada 1972.

Goodyear juga menjadi jenama tayar yang dipasang pada kereta keluaran tempatan pertama Malaysia, Proton Saga pada 1985.


Pengarang :