Pelanggan memilih beras di sebuah pasar raya di Semenyih pada 28 Jun 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Sumber tidak sah, 94 iklan jual beras dalam platform e-dagang diturunkan

PUTRAJAYA, 3 JULAI: Sebanyak 94 iklan berkaitan penjualan beras secara dalam talian telah diturunkan oleh penyedia platform e-dagang bagi tempoh 1 Oktober 2023 hingga 31 Mei tahun ini, kerana tidak mempunyai lesen runcit yang dikeluarkan Kawalselia Padi dan Beras (KPB).

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan hasil semakan, pihaknya turut mendapati beras yang dijual itu dipercayai diperoleh dari sumber tidak sah.

Kenyataan itu menyebut, penjualan barang kawalan beras yang menggunakan platform e-dagang adalah terikat dengan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522) dan peraturan-peraturan di bawahnya.

Sekiranya didapati bersalah, pihak terlibat boleh didenda sehingga RM25,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, menurut kenyataan itu.

Menurut KPKM, padi dan beras adalah barang kawalan di bawah Akta 522 dan peraturan-peraturan di bawahnya yang memperuntukkan sebarang urus niaga melibatkan barang kawalan di peringkat kilang, borong dan runcit termasuk jualan secara dalam talian memerlukan lesen yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah KPB.

“Ketiadaan lesen barang kawalan beras adalah kesalahan di bawah Peraturan 3 iaitu Peraturan-Peraturan Kawalan Padi dan Beras (Pelesenan Pemborong dan Peruncit) 1996,” menurut kenyataan itu.

KPKM memaklumkan, beras dijual kepada pengguna dalam talian disyaki beras yang dibawa masuk ke dalam negara tanpa mendapat kelulusan kerajaan dan merupakan satu kesalahan di bawah Peraturan 10(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Padi dan Beras (Pelesenan Pemborong dan Peruncit) 1996.

“KPB sentiasa memantau aktiviti penjualan beras menggunakan platform dalam talian dengan kerjasama penyedia platform e-dagang bagi membendung aktiviti itu daripada terus berleluasa,” menurut kenyataan itu.

Kementerian itu turut mengingatkan kepada peniaga bahawa penjualan secara dalam talian barangan kawalan padi dan beras perlu mematuhi mana-mana perundangan sedang berkuat kuasa.

-BERNAMA


Pengarang :