AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tabung solidariti Selangor FC berjaya kutip lebih RM65,000 takat 11 pagi

SHAH ALAM, 2 JULAI: Tabung Solidariti Bersama Selangor FC mengutip RM66,252.02 setakat 11 pagi ini, melebihi jumlah denda RM60,000 yang dikenakan terhadap pasukan tersebut.

EXCO sukan berkata orang ramai masih boleh menyalurkan sumbangan kepada tabung solidariti yang dilancar pada 26 Jun lepas , sebelum ditutup tengah malam ini.

Jelas Najwan Halimi, serahan sumbangan kepada Selangor FC akan disempurnakan oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari esok.

“Terima kasih kepada semua penyumbang dari seluruh negara yang telah menzahirkan sokongan dan solidariti kepada pasukan Selangor FC.

“Kepada yang masih berhasrat untuk menyumbang RM1 sebagai tanda solidariti kepada pasukan Selangor FC, anda boleh imbas pada kod QR yang dipaparkan dalam infografik,” kata Najwan Halimi di Facebook.

Kerajaan Negeri menerusi Majlis Sukan Negeri Selangor melancarkan tabung berkenaan susulan keputusan tidak adil yang dijatuhkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) kepada skuad Gergasi Merah.

Pada 27 Jun lalu, MFL menimbang semula hukuman yang dikenakan terhadap Selangor FC sebagai menjunjung kasih dan menghormati titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Hukuman denda dikurangkan daripada RM100,000 kepada RM60,000 manakala pemotongan tiga mata dalam pertandingan Liga Super 2024-2025 turut dibatalkan.

Larangan kemasukan penonton ke perlawanan Liga Super minggu ke-14 menentang JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya turut ditarik balik.

Pada 30 Jun, Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC Dr Johan Kamal Hamidon berkata pihaknya sudah memfailkan rayuan berdasarkan keputusan yang dipertimbang semula oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL.

 


Pengarang :