Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Tempat ke matrikulasi, program asasi bagi lepasan SPM 10A cukup

KUALA LUMPUR, 1 JUL: Kerajaan akan memastikan semua lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang memperoleh keputusan 10A ke atas namun tidak mendapat tempat di matrikulasi atau program asasi universiti awam (UA), ditawarkan tempat sewajarnya.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Pendidikan (KPM) akan bekerjasama mengenal pasti kumpulan pelajar terbabit.

“Mungkin mereka tidak mendapat tempat di matrikulasi tetapi mereka boleh dapat program asasi di UA (universiti awam). Saya fikir sekarang ialah tempoh untuk penyesuaian…sama ada mereka dapat kedua-duanya atau biasiswa. Mereka perlu memilih satu.

“Kami percaya kami tidak mempunyai banyak isu untuk memudahkan pelajar-pelajar tersebut dengan 10A dan ke atas kerana tempat di universiti di bawah program asas serta matrikulasi adalah mencukupi untuk menampung bilangan pelajar yang mendapat 10A dan ke atas,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat ‘Concorde Club’ di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Penasihat Kumpulan Star Media Datuk Seri Wong Chun Wai. ‘Concorde Club’ merupakan perjumpaan tidak rasmi editor dan wartawan kanan dengan ahli politik dan penggubal utama dasar.

Keputusan permohonan program matrikulasi KPM dan program asasi UA di bawah KPT bagi lepasan SPM 2023 telah diumumkan, masing-masing pada 20 Jun dan 28 Jun lepas.

Selain itu, Zambry berkata mereka yang meraih keputusan 10A ke atas atau keputusan semua A namun tidak mendapat tempat pada kedua-dua program tersebut, boleh mengemukakan rayuan.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan semua lepasan SPM yang mendapat keputusan 10A ke atas tanpa mengira kaum dan wilayah akan ditawarkan peluang melanjutkan pengajian pada peringkat matrikulasi bermula tahun ini. Hal itu merupakan keputusan yang dipersetujui Jemaah Menteri pada mesyuarat Jumaat lepas.

Zambry berkata langkah itu adalah sebahagian usaha kerajaan untuk memastikan peluang saksama dan mengiktiraf pelajar yang menunjukkan kecemerlangan dalam pelajaran serta mengingatkan semua pihak agar tidak menjadikan keputusan itu sebagai bahan politik.

“Kuota bumiputera tidak tergugat tetapi dalam masa sama jumlah yang dapat 10A ke atas akan diberikan pada semua dan memang kita boleh bagi pada semua jadi tidak timbul isu kuota bumiputera dikurangkan,” katanya.

Hari ini, Perdana Menteri turut memberikan jaminan bahawa kerajaan mengekalkan kuota bumiputera lepasan SPM bagi melanjutkan pengajian ke peringkat matrikulasi susulan termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang melibatkan kedudukan istimewa orang Melayu serta kaum bumiputera di Sabah dan Sarawak.

Anwar berkata walaupun keputusan itu memberikan pengiktirafan pada kecemerlangan tanpa mengira kaum dan latar belakang, namun kerajaan pada masa sama tegas mempertahankan kuota bumiputera.

– BERNAMA


Pengarang :