BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

The Pocket Rocketman, Zii Jia galas harapan negara raih emas sulung Olimpik

Meraih emas sulung sasaran utama kontinjen Malaysia dalam temasya Olimpik di Paris, Perancis pada tahun ini.

Lapan perak dan lima gangsa diraih sepanjang penyertaan negara dalam temasya sukan terbesar dunia itu sejak pertama kali pada 1956 di Melbourne, Australia.

Penyertaan atlet dalam Sukan Olimpik di Rio de Janeiro, Brazil pada 2016 paling cemerlang apabila membawa pulang empat perak dan satu pingat gangsa. Secara keseluruhan, acara badminton paling banyak menyumbang pingat, enam perak dan tiga gangsa.

Temasya antara 26 Julai hingga 11 Ogos menyaksikan Malaysia membariskan 26 atlet (rujuk senarai) bagi memburu emas melibatkan 10 jenis sukan antaranya terjun, renang, sukan pelayaran, menembak, berbasikal, angkat berat, badminton, golf dan olahraga.

Perhatian tertumpu kepada sukan berbasikal trek dan badminton yang menjadi sandaran harapan untuk meraih emas sulung negara.

“Bukan kita tidak mahu gangsa, perak tapi hasrat negara ialah satu pingat emas. Oleh itu sasaran kita satu pingat emas,” kata Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Sasaran itu digalas jaguh berbasikal trek negara Datuk Azizulhasni Awang, pemain badminton perseorangan lelaki Lee Zii Jia dan pemain beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Terkenal dengan julukan The Pocket Rocketman, Azizulhasni tampil buat kali kelima di pentas Olimpik sejak pertama kali di Beijing pada 2008.

Bergelar juara dunia 2017, beliau menang emas di Kejohanan Berbasikal Trek Asia sebanyak 12 kali. Raja Basikal Asia itu juga meraih emas acara keirin di Piala Negara-Negara Berbasikal Trek UCI di Adelaide, New Zealand pada Februari.

 

Curi tumpuan

 

Lee Zii Jia yang berada pada tangga ketujuh dalam senarai terbaharu Persekutuan Badminton Dunia pernah bergelar pemain badminton kedua terbaik dunia pada 2023.

Selain menjuarai All England 2021, Zii Jia turut mengungguli beberapa kejohanan utama antaranya Terbuka Australia 2024 dan Terbuka Thailand 2024.

Pasangan Aaron Chia-Soh Wooi Yik pula pernah menang gangsa ketika aksi di Tokyo 2020. Ibu negara Jepun itu juga menyaksikan beregu negara muncul juara Kejohanan Badminton Dunia 2022.

Menduduki kedudukan kelima dunia, pasangan itu juga cemerlang dalam pertandingan lain termasuk menjuarai Terbuka Denmark dan naib juara All England 2024.

Selain acara berbasikal dan badminton, Malaysia juga meletak harapan terhadap skuad pemanah untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu pingat.

Meski bukan pilihan, pemanah negara yang dibarisi Ariana Nur Dania Mohamad Zairi, Nurul Azreena Mohamad Fazil dan Syaqiera Mashayikh diyakini berupaya naik ke podium.

Turut mencuri tumpuan ialah penerjun Nur Dhabitah Sabri. Beliau diingati peminat apabila hampir menghadiahkan gangsa pada Olimpik Tokyo 2020 dalam acara terjun tiga meter papan anjal.

Kini berusia 25 tahun, beliau bertekad mahu membawa pingat dalam penampilan ketiga pada temasya kali ini, sekali gus menebus kekecewaan di Jepun tiga tahun lalu.

Perenang Tan Ruoxin yang genap berusia 18 tahun pada 6 Julai pula menjadi atlet termuda dalam kontinjen Malaysia kali ini.

Perenang kelahiran Johor Bahru itu memperoleh slot wild card bersama seorang lagi rakannya Khiew Hoe Yean.

Rouxin yang memenangi enam pingat emas di Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 dijadual beraksi dalam acara 100 meter (m) kuak dada manakala Hoe Yean menyertai 400m gaya bebas.

Nama lain yang dijangka menjadi tumpuan penyokong antaranya Muhammad Shah Firdaus Sahrom (berbasikal sprint dan keirin), Nurul Izzah Izzati Mohd Asri (berbasikal sprint dan keirin), Pearly Tan-Thinaah Muralitharan (badminton beregu wanita) dan Muhammad Azeem Fahmi (olahraga 100 meter pecut).

Kontinjen negara diketuai Chef De Mission Datuk Hamidin Mohd Amin manakala pembawa bendera Malaysia ialah penerjun berumur 19 tahun Bertrand Rhodict Lises dan pelayar negara berumur 25 tahun Nur Shazrin Mohamad Latif.


Pengarang :