Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menyampaikan ucapan pada majlis perhimpunan bulanan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pada 31 Januari 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Tindakan doakan musibah kepada pemimpin dikecam, timbulkan perpecahan, ketegangan

SHAH ALAM, 15 JULAI: Tindakan membaca doa qunut nazilah terhadap kepimpinan negara dianggap tidak menghormati prinsip asas adab Islam selain mampu mencetuskan perpecahan rakyat.

Persatuan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah) berkata doa berkenaan yang sering dibaca dan didengar ketika solat jemaah hanya dikhususkan untuk rakyat Palestin yang ketika ini dizalimi Israel.

“Tindakan ini bukan sahaja tidak menghormati prinsip asas adab Islam dalam soal kepimpinan dan demokrasi negara tetapi juga berpotensi menimbulkan perpecahan dan ketegangan dalam kalangan rakyat.

“Sebagai sebuah organisasi Islam yang mementingkan perpaduan dan kesejahteraan ummah, kami menyeru semua pihak agar menjauhi politik perpecahan, hasutan, dan fitnah,” kata setiausaha agungnya Azizuddin Ahmad menerusi kenyataan hari ini.

Terdahulu, tular video berdurasi 18 saat di aplikasi TikTok memaparkan tulisan mendoakan bala serta laknat kepada pimpinan negara serta penyokong mereka. Ia turut menggunakan muzik latar bacaan qunut nazilah yang dilagukan.

Berikutan itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar memaklumkan perbuatan itu tidak wajar dan boleh menimbulkan rasa kebencian.


Pengarang :