EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari menjawab soalan dalam Persidangan Dewan Negeri Selangor ke-15 di Bangunan Annex, Shah Alam pada 9 Julai 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR
EXCOSELANGOR

Tingkat kemahiran, Pusat Wanita Berdaya laksana lebih 200 program

SHAH ALAM, 9 JULAI: Sebanyak 225 program pemerkasaan wanita dilaksanakan 30 penyelia Pusat Wanita Berdaya (PWB) sepanjang Februari hingga Mei lalu.

EXCO pembangunan wanita berkata program itu adalah bimbingan serta latihan merangkumi modul kemahiran dan kapasiti.

Anfaal Saari berkata model kemahiran termasuk pemprosesan makanan produk hasilan soya, bengkel jahitan, bengkel penyediaan losyen, penyediaan biskut raya dan makanan.

“Bagi modul kapasiti pula bengkel e-usahawan asas pemasaran digital, kursus transformasi peniaga B40 dan bengkel kelas dalam talian,” katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Mengulas lanjut, Anfaal berkata inisiatif pemerkasaan wanita yang dilaksanakan Kerajaan Negeri berpandukan matlamat dan pelan tindakan Dasar Wanita Selangor 2024-2026.

“Antara inisiatif secara bersasar mengambil kira keperluan segmen wanita di Selangor termasuklah PWB menyasarkan wanita di peringkat akar umbi dengan memberi latihan kemahiran dan kapasiti bagi menjana pendapatan seterusnya meningkatkan status sosioekonomi mereka.

“Selain itu, Akademi Kepimpinan Wanita (AKW) memfokuskan pemerkasaan kepimpinan khusus bagi pemimpin wanita dalam sektor awam, korporat, politik dan komuniti melalui pengajian intensif selama 12 bulan yang kini memasuki kohort keempat pelaksanaannya pada tahun ini.

“Seramai 282 pelajar graduan AKW berjaya dihasilkan sepanjang tiga kohort pelaksanaan dan mereka kini aktif dalam komuniti masing-masing,” katanya.

Menerusi Belanjawan 2024 sejumlah RM4 juta diperuntuk untuk program dan aktiviti Wanita Berdaya Selangor (WBS) sebagai badan pemikir jalan kajian dan dasar bantu wanita.


Pengarang :