AGENDANASIONAL

Wadah DBP sedia ruang penulis muda hantar karya kreatif

SHAH ALAM, 28 JULAI: Orang ramai yang berminat dalam bidang penulisan boleh menghantar karya kepada Wadah DBP, sebuah pelantar digital yang dibangunkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Menurut Pengarah DBP Wilayah Tengah Nurul Julia Alani Henry, wadah tersebut membuka peluang baharu kepada masyarakat penulis untuk mengetengah karya pada peringkat kebangsaan.

“Portal ini membuka peluang baharu kepada penulis muda untuk membangunkan diri dan mengasah bakat dalam penulisan sebelum karya mereka bersaing ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Mereka yang berminat perlu mendaftar melalui pautan https://wadahdbp.my sebelum mengirim karya. Honorarium juga disediakan.

Nurul Julia Alani menjelaskan Wadah DBP bermatlamat untuk meningkatkan dan mengembangkan lagi bakat penulis baharu dalam bahasa kebangsaan melalui penyediaan empat kolum.

“Karya perlulah bersifat setempat merangkumi pelbagai genre seperti rencana, cerpen, puisi, ulasan cerpen, ulasan puisi, tokoh, sejarah dan budaya serta kearifan tempatan,” katanya.

Halaman tersebut ialah Titisan Pena untuk penulisan rencana bahasa, sastera, kearifan tempatan, sejarah dan budaya serta tokoh.

Kolum Lantera Kreatif pula tertumpu kepada genre cerpen dan puisi manakala kolum ketiga Tinta Jawi (karya sastera dalam jawi) serta yang keempat puisi moden dan tradisional.


Pengarang :