AGENDAJENAYAH

Wang simpanan RM120,000 lesap angkara penipuan panggilan telefon

KUANTAN, 1 JULAI: Seorang jurujual kenderaan berputih mata apabila wang simpanannya berjumlah RM120,000 lesap selepas terpedaya dengan sindiket penipuan menerusi panggilan telefon.

Pemangku Ketua Polis Pahang Datuk Noor Hisam Nordin berkata lelaki berusia 27 tahun itu pada mulanya telah menerima panggilan daripada seorang individu yang menyamar sebagai pegawai polis pada 27 Jun lepas.

Beliau berkata mangsa diberitahu akan ditangkap kerana terlibat dalam kegiatan “cuci wang haram” selain kad bank milik mangsa juga telah digunakan oleh seseorang yang terbabit dengan kes jenayah.

“Suspek kemudiannya telah mengarahkan mangsa memuat turun aplikasi yang diberikan serta mengisi semua maklumat perbankan, malah lelaki itu juga telah diarahkan untuk membuat transaksi ke akaun yang diberikan kononnya untuk siasatan lanjut.

“Akibat takut dan percaya dengan taktik itu mangsa telah melakukan transaksi tersebut sehingga mengalami kerugian berjumlah RM120,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mangsa yang berasa ditipu kemudiannya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sehubungan itu, Noor Hisam menasihatkan orang ramai supaya tidak mendedahkan maklumat peribadi kepada pihak yang tidak dikenali bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.

– BERNAMA


Pengarang :