AGENDANASIONAL

14 individu dipercayai pengikut ajaran sesat Millah Abraham didakwa

BATU PAHAT, 6 OGOS: Seramai 14 individu dipercayai pengikut ajaran Millah Abraham hari ini dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah di sini atas pertuduhan memiliki bahan penerbitan yang bertentangan dengan hukum syarak dan mengingkari pihak berkuasa agama.

Kesemua tertuduh, yang terdiri daripada 11 lelaki dan tiga wanita, didakwa mengikut Seksyen 9 dan Seksyen 13(1)(b) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Johor) 2003 yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM3,000 atau kedua-duanya selain dikenakan pelucutan hak dan juga sesi kaunseling, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Syarie Mohd Syahir Sahab.

Prosiding hari ini adalah untuk sebutan bagi memindahkan kes mengikut lokasi kejadian selaras dengan Seksyen 67 enakmen sama.

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan dua penjamin.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pendakwa Syarie Ahmad Wafi Abdullah manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, kesemua tertuduh tiba di pekarangan mahkamah pada 9.45 pagi dengan dikawal ketat oleh anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan polis.

Sebelum ini, 17 individu dipercayai pengikut ajaran sesat itu ditahan dalam operasi khas Bahagian Penguatkuasaan JAINJ dengan kerjasama Unit Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di Batu Pahat, Pontian, Muar dan Segamat pada 1 Ogos lepas.

Ajaran Millah Abraham difatwakan sesat pada 30 Julai 2015 serta diwartakan pada 28 April 2016 sebagai ajaran dan fahaman yang menyimpang daripada fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Antara fahaman salah ajaran ini ialah ahlinya percaya sembelihan oleh bukan ahli adalah tidak sah selain mempercayai kewujudan nabi baharu dan ada syahadah berbeza.

– BERNAMA


Pengarang :