AGENDAJENAYAH

20 warga asing ditahan, polis selamatkan wanita warga Tanzania

KUALA LUMPUR, 3 OGOS: Seramai 20 warga asing termasuk dua kanak-kanak ditahan dalam operasi di sebuah pangsapuri di Jalan Ampang di sini semalam atas pelbagai kesalahan termasuk di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata mereka yang ditahan dalam operasi bermula 10.30 pagi itu berusia dua hingga 40 tahun, terdiri daripada 14 warganegara Nigeria, Tanzania (tiga) Uganda (dua) dan seorang warga Maldives.

Beliau berkata mereka dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12 ATIPSOM serta Seksyen 55D, Seksyen 15(1) (c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Mohd Shuhaily berkata pihaknya turut menyelamatkan seorang wanita warga Tanzania berusia 24 tahun yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi seks.

“Mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju untuk siasatan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang relevan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Sementara itu, seorang pekerja di pangsapuri berkenaan yang enggan dikenali berkata banyak aduan membabitkan warga Afrika di situ seperti membuat bising dan mabuk hingga merosakkan harta benda.

– BERNAMA


Pengarang :