Jabatan Imigresen menahan 49 warga asing dan seorang wanita tempatan dalam serbuan di sebuah kilang barangan kitar semula di Kawasan Perindustrian Selat Klang Utara, Pelabuhan Klang pada 30 Julai 2024. Foto Facebook Jabatan Imigresen Malaysia
AGENDAJENAYAH

49 warga asing ditahan dalam serbuan di kilang kitar semula

PUTRAJAYA, 1 OGOS: Jabatan Imigresen (JIM) menahan 49 warga asing dan seorang wanita tempatan dalam serbuan di sebuah kilang barangan kitar semula peralatan elektronik di Kawasan Perindustrian Selat Klang Utara, Pelabuhan Klang Selasa lalu.

Warga asing terdiri daripada 23 lelaki Bangladesh, 17 lelaki Myanmar, masing-masing seorang lelaki Nepal dan China, lima wanita Myanmar dan masing-masing seorang wanita Vietnam dan China berusia dalam lingkungan 20 hingga 46 tahun.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh berkata serbuan dilakukan 2.50 petang hasil aduan awam dan risikan pihaknya selama dua minggu ke atas premis yang disyaki dijaga wanita tempatan berkenaan.

“Semakan awal mendapati enam lelaki Bangladesh menyalahgunakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan bekerja di lokasi serbuan, dua lelaki Bangladesh tinggal lebih masa manakala warga asing lain tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas sah untuk berada di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pasukan operasi turut merampas lesen majlis, dokumen syarikat, Sijil Suruhanjaya Malaysia (SSM), rekod perniagaan, 10 pasport Bangladesh, tiga pasport Myanmar, dua telefon bimbit, satu set komputer, 22 keping kad perakam waktu dan wang tunai RM2,900.

Modus operandi kilang itu adalah memproses barangan lusuh peralatan elektronik, kabel dan wayar bagi mendapatkan tembaga dan aluminium daripada pelbagai negara yang dibawa masuk melalui Pelabuhan Klang.

Barangan lusuh diproses itu dijual semula secara pukal bagi pasaran tempatan dan luar negara dan kilang itu juga disyaki menggajikan warga asing dan menyediakan tempat tinggal di dalam kilang tersebut serta beroperasi selama enam bulan.

Ruslin berkata ketika serbuan, terdapat pekerja warga asing cuba melarikan diri serta bersembunyi dalam kawasan kilang sehingga menyukarkan operasi namun ia berjaya dipatahkan anggota serbuan.

Kesemua warga asing ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

Warga asing itu dihantar ke Depot Imigresen Machap Umboo, Melaka untuk siasatan manakala wanita tempatan ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63.

“Kilang ini juga dipercayai telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 18, Seksyen 19 dan Seksyen 34A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan susulan itu seorang lelaki tempatan dan dua lelaki China diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan,” kata Ruslin.

– BERNAMA


Pengarang :