Peserta kategori 10km Larian PJ Half Marathon memulakan larian di Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ, Petaling Jaya pada 18 Ogos 2024. Foto MBPJ
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

8,000 sertai PJ Half Marathon, terima sambutan menggalakkan pelari antarabangsa

PETALING JAYA, 18 OGOS: Acara larian terulung di Petaling Jaya, PJ Half Marathon yang berlangsung hari ini, mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan 8,000 peserta termasuk pelari antarabangsa dari 39 negara.

Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Zahri Samingon berkata acara larian edisi ke-34 itu menyaksikan peningkatan ketara daripada peserta antarabangsa dengan keseluruhan 250 penyertaan.

Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Zahri Samingon. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

“Penganjuran kali ini kita terima sambutan yang baik daripada peserta luar negara dan sekali gus membuktikan acara ini ditunggu-tunggu oleh peminat sukan larian antarabangsa.

“Tahun ini penyertaan paling ramai adalah dari India dengan 35 peserta, Jepun (28), Singapura (21) dan United Kingdom dengan 18 peserta,” katanya ketika ditemui pemberita.

Acara larian seawal jam 3.40 pagi itu menyaksikan lima kategori dipertandingkan antaranya 30 kilometer (km) terbuka, 21km terbuka, 10km terbuka dan 5km Fun Run serta 1km Fun Run bertemakan Anime.

Dalam pada itu, Mohamad Zahri berhasrat menambah nilai ganjaran pada penganjuran PJ Half Marathon 2025, seiring peningkatan penyertaan yang diterima saban tahun.

Peserta kategori 21km Larian PJ Half Marathon memulakan larian di Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ, Petaling Jaya pada 18 Ogos 2024. Foto MBPJ

“Tahun depan kita akan tambah nilai hadiah kepada peserta. Kita akan bincang balik, (ini) kerana kita terima sambutan menggalakkan setiap tahun,” katanya.

Mengulas dakwaan penganjuran PJ Half Marathon tidak memiliki sanksi atau permit, Mohamad Zahri berkata isu itu tidak timbul berikutan MBPJ memperoleh kebenaran daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

“Kita ada kebenaran dari KBS. Program ini juga sebahagian daripada kempen MBPJ sempena Hari Kebangsaan. Isu ini tidak sepatutnya timbul kerana ia bawa imej Malaysia,” katanya.

PJ Half Marathon dianjurkan bersama Persatuan Olahraga PARA Selangor (POPS) dengan kerjasama Puncak Ventures SRA Sdn Bhd.


Pengarang :