AGENDANASIONAL

95 peratus laman sesawang disekat SKMM papar judi, lucah

PUTRAJAYA, 8 OGOS: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memaklumkan sejumlah 10,423 laman sesawang telah disekat susulan pelanggaran undang-undang dari 1 Jan 2022 hingga 1 Ogos lepas.

Kenyataan SKMM hari ini menyebut daripada jumlah itu, sebanyak 95.7 peratus laman sesawang yang disekat adalah terdiri daripada lima kategori utama iaitu perjudian dalam talian (4,484 laman) diikuti pornografi (3,271), pelanggaran hak cipta (1,654), scam atau pelaburan haram (316) dan pelacuran (249).

“Dalam tempoh lima tahun, jumlah sekatan laman sesawang yang mempunyai kandungan kemudaratan dalam talian tertinggi direkodkan pada 2021 iaitu sebanyak 6,571, bagaimanapun jumlah ini menunjukkan trend penurunan hingga Ogos 2024 (2,127),” kata MCMC.

Menurut suruhanjaya itu, sekatan yang dilakukan adalah mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998) serta undang-undang di bawah bidang kuasa agensi penguatkuasaan lain antaranya Polis Diraja Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta Suruhanjaya Sekuriti.

Dalam konteks lebih besar, sekatan laman sesawang itu turut mengekang jenayah lain seperti pemerdagangan manusia, pengantunan kanak-kanak, penjualan bahan terlarang seperti dadah dan jenayah terancang.

Bagi memastikan sekatan kekal berkesan dan selari dengan perkembangan teknologi, SKMM komited bekerjasama rapat dengan penyedia perkhidmatan tempatan bagi menambah baik serta memperkukuh langkah pencegahan dan perlindungan termasuk dalam aspek pengurusan Sistem Nama Domain (DNS).

“Kerjasama SKMM dan penyedia perkhidmatan dapat memastikan persekitaran dalam talian yang selamat seterusnya menjamin keselamatan segenap lapisan pengguna,” katanya.

Usaha itu juga selaras dengan 10 Matlamat Dasar Kebangsaan di bawah AKM 1998 termasuk menjamin keselamatan maklumat serta kebolehpercayaan dan keutuhan rangkaian.

Menurut SKMM, usaha itu juga memerlukan pendekatan holistik keseluruhan negara daripada segenap lapisan masyarakat untuk tidak melangkaui mekanisme perlindungan tersedia yang boleh memberi kesan negatif kepada diri serta keluarga, khususnya remaja dan kanak-kanak.

– BERNAMA


Pengarang :