Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Azman Abidin (tengah) dan Ahli Dewan Negeri Kajang David Cheong (dua, kiri) mengibar Jalur Gemilang dalam majlis perasmian Kempen Kajang Bersih Kajang di Hatiku di Sekolah Menengah Kebangsaan Saujana Impian, Kajang pada 12 Ogos 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR
ADNSELANGOR

ADN Kajang selesai pelbagai isu setempat sejak jadi wakil rakyat

HULU LANGAT, 12 OGOS: Pelbagai isu setempat yang membelenggu penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang diselesaikan dalam tempoh setahun pentadbiran Kerajaan Negeri.

Wakil rakyatnya David Cheong berkata ia mencakupi pelbagai aspek termasuk kebajikan masyarakat dan alam sekitar seperti isu kekurangan parkir di Klinik Kesihatan Kajang masalah banjir kilat di Bukit Dukung dan tapak pembakaran sampah haram di Twin Palms Sungai Long.

Beliau menjelaskan isu kekurangan parkir di Klinik Kesihatan Kajang ditangani dengan penambahan 154 lagi petak parkir hasil libat urus tanggungjawab sosial korporat beberapa pihak.

“Bagi tapak sampah haram di Twin Palms sekian lama saya utarakan isu ini kepada pihak atasan, lakukan tinjauan kerap dan bawa isu ke sidang DUN akhirnya kerja kecemasan membaik pulih kawasan ini sudah dimulakan dengan dibiayai sepenuhnya Kementerian Ekonomi.

Ahli Dewan Negeri Kajang David Cheong berucap dalam majlis pelancaran Kempen Kajang Bersih Kajang di Hatiku di Sekolah Menengah Kebangsaan Saujana Impian, Kajang pada 12 Ogos 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

“Masalah banjir kilat di Bukit Dukung berpunca dari masalah saliran dan perparitan yang tidak terurus dari kawasan kilang berhampiran juga berjaya diselesaikan,” katanya ditemui selepas pelancaran kempen Kajang Bersih, Kajang Di Hatiku hari ini.

Majlis disempurnakan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin di Sekolah Menengah Kebangsaan Saujana Impian di sini.

David berkata selain menyelesaikan isu banjir secara berperingkat, tumpuannya selepas ini adalah menyelesaikan isu tapak sampah haram Bandar Mahkota Cheras yang masih belum selesai dan tiada kata putus daripada jabatan atau agensi berkaitan.

“Namun saya lega apabila mendapat makluman bahawa setiap jalan utama yang menuju ke kawasan ini sudah ditutup kerana pembakaran sampah ini mengeluarkan gas metana yang berbahaya untuk kesihatan manusia.

“Jadi saya akan terus memantau isu ini sehingga berjaya diselesaikan oleh pihak berkaitan sekali gus mengelak kejadian buruk yang boleh mengancam nyawa penduduk sekitar,” katanya.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saujana Impian mengibar Jalur Gemilang sempena pelancaran bulan kebangsaan dalam majlis perasmian Kempen Kajang Bersih Kajang di Hatiku di SMK Saujana Impian, Kajang pada 12 Ogos 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saujana Impian menghias Jalur Gemilang pada basikal mereka sempena pelancaran bulan kebangsaan dalam majlis perasmian Kempen Kajang Bersih Kajang di Hatiku di SMK Saujana Impian, Kajang pada 12 Ogos 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Pengarang :