Penyelaras Pusat Kaunseling Selangor ditemui selepas program bual bicara Hai Selangor di Media Selangor, Shah Alam pada 1 Ogos 2024. Foto MEDIA SELANGOR
AGENSISELANGOR

Aduan krisis rumah tangga paling kerap diterima Pusat Kaunseling Selangor

Oleh AIDA MOHAMED NYAN

SHAH ALAM, 2 OGOS: Konflik rumah tangga dan kemurungan antara isu paling kerap dirujuk oleh orang ramai di Pusat Kaunseling Selangor (PKS).

Penyelarasnya Faridah Abdul Jalil berkata statistik pengadu di pusat yang menawarkan khidmat kaunseling percuma itu meningkat sejak tiga tahun kebelakangan ini.

Menurutnya, seramai 200 pengadu direkodkan pada 2021 sebelum meningkat kepada 600 pengadu (2022) diikuti 747 pengadu (2023).

“Merujuk kepada statistik, isu paling tinggi adalah isu kekeluargaan membabitkan hubungan suami isteri yang tidak harmoni sehingga mencetuskan tekanan hidup.

“Isu kesihatan mental seperti kemurungan dan tekanan juga kerap diadu di PKS,” katanya dalam program bual bicara Hai Selangor, semalam.

Menurut Faridah, golongan yang paling ramai mendapatkan khidmat kaunseling dan psikologi adalah belia berusia 29 hingga 40 tahun.

“Pada usia belia ini mereka selalunya dalam situasi menyesuaikan diri dengan pelbagai proses. Masa itulah berkahwin, cari pekerjaan dan banyak isu yang timbul untuk mereka selesaikan.

“Jadi mereka hadir dan PKS bantulah untuk selesaikan macam mana mereka dapat adaptasi dengan persekitaran. Jika mereka gagal adaptasi dengan betul, maka mereka akan berdepan dengan tekanan,” katanya.

Dalam pada itu, Faridah menyeru orang ramai yang memerlukan perkhidmatan kaunseling dan psikologi untuk berhubung terus dengan PKS dan mendapatkan bantuan daripada kaunselor bertauliah yang berdaftar dengan Lembaga Kaunselor Malaysia.

“Setakat ini PKS mempunyai 26 kauselor terdiri daripada 13 lelaki dan 13 wanita. Boleh buat janji temu dengan menghubungi PKS atau datang terus ke pejabat di Shah Alam, Ampang Jaya, Selayang dan Sepang

“Jangan tunggu kritikal, carilah bantuan secepatnya,” katanya.

Katanya, pengadu juga boleh mendapatkan khidmat kaunseling menerusi talian SEHAT dengan menghubungi 1700-82-7536 atau 1700-82-7537.


Pengarang :