Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan mencemar duli mengalung kan pingat kepada Atlet renang Selangor Andrew Goh meraih pingat emas dalam acara 50 meter gaya kuak dada lelaki ketika Sukan Malaysia (SUKMA) di Pusat Akuatik Pandelela Rinong, Petra Jaya pada 21 Ogos 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR
AGENDABERITA UTAMASUKANKINI

Andrew congak strategi lebur rekod kebangsaan acara 200m kuak dada

KUCHING, 22 OGOS: Jaguh renang Selangor Andrew Goh Zhe Yeng mencongak strategi untuk meleburkan rekod kebangsaan acara 200 meter(m) kuak dada individu lelaki pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 petang ini.

Atlet berusia 20 tahun yakin mampu melunaskan misi tersebut selepas kejayaan memperbaiki rekod acara 100m kuak dada pada Isnin dan 50m kuak dada di Pusat Akuatik Pandelela Rinong, Petra Jaya di sini semalam.

Atlet renang negeri Andrew Goh Zheng Yeng bergambar bersama pingat emas yang diraih dalam acara 50 meter(m) kuak dada lelaki pada Sukan Malaysia (SUKMA) pada 21 Ogos 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Sebenarnya saya tidak fikir sangat tentang itu (pecah rekod) tetapi penting untuk saya berganjak daripada rekod sedia ada. Saya percaya setiap perenang juga mahu melakukan perkara sama.

“Tetapi apabila saya berjaya melakukannya pada hari pertama (pecah rekod 100m kuak dada), saya rasa misi ini patut diteruskan. Apatah lagi ia (kuak dada) acara kegemaran saya,” katanya ditemui, semalam.

Mengulas kejayaan menggondol tiga emas pada SUKMA setakat ini, penuntut tahun dua jurusan nutrisi di sebuah universiti terkemuka di Amerika Syarikat (AS) menyifatkan ia sebagai pencapaian luar biasa.

Bagaimanapun anak didik Eric Anderson enggan selesa dengan prestasi dicapai di pentas sukan berprestij negara ketika ini sebaliknya berazam melakar kejayaan di Sukan SEA termasuk kejohanan dunia.

Perenang Selangor Andrew Goh memperbaharui rekod kebangsaan miliknya dalam acara 50 meter kuak dada lelaki pada Sukan Malaysia (SUKMA) di Pusat Akuatik Pandelela Rinong, Petra Jaya, Kuching, pada 21 Ogos 2024 . Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Semalam, Andrew mencatat 27.40s bagi acara 50m kuak dada, sekali gus mengatasi 28.03s yang dilakukan dalam saringan ketiga dan 28.10s pada Terbuka Malaysia 2023 di Kuala Lumpur.

Pada 19 Ogos, Andrew turut memperbaharui rekod kebangsaan acara 100m kuak dada dengan catatan 1:01.39s, memadam rekod lama miliknya 1:02.30s yang direkodkan pada Terbuka Malaysia 2023 dan rekod SUKMA milik Wong Fu Kang 1:03.05s pada edisi 2016.

Selain 200m kuak dada individu, atlet muda ini dijadual beraksi bagi acara 4x100m rampaian lelaki.


Pengarang :