AGENDAJENAYAH

Anggota badan mayat Cikgu Istiqomah masih dicari

ALOR GAJAH, 12 OGOS: Polis masih mengesan anggota badan mangsa pembunuhan, Cikgu Istiqomah Rozi Ahmad yang mayatnya ditemukan tanpa kepala di Kampung Tanjung Rimau, Pulau Sebang di sini pada 31 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Ashari Abu Samah berkata berikutan itu, jenazah arwah tidak dapat diserahkan kepada anggota keluarganya untuk urusan pengebumian setakat ini.

“Post mortem semua dah selesai. Masih ada anggota badan yang belum ditemukan. Setakat ini jenazah belum diserahkan lagi sebab ada lagi yang belum selesai. Sebaik semua telah selesai dan jenazah dah boleh diserahkan, saya akan maklumkan.

“Kita cuba untuk selesaikan kes ini sehingga suspek dituduh di mahkamah,” katanya ringkas kepada pemberita menerusi WhatsApp di sini hari ini.

Media pada 6 Januari lalu melaporkan penemuan mayat wanita tanpa kepala, kedua-dua tangan dan kaki, dalam tong sampah di tepi jalan Alor Gajah-Tampin berdekatan Kampung Rimau, Pulau Sebang kira-kira 2 petang.

Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dibunuh dengan anggota badan iaitu kepala, tangan dan kaki dipotong dan disumbat ke dalam tong sampah sebelum dibuang ke dalam longkang.

Bagaimanapun, identiti mangsa gagal dikenal pasti dan pihak patologi hanya mengesahkan mayat dianggarkan berumur antara 20 hingga 30-an dan merupakan seorang wanita.

Berikutan penemuan mayat tanpa kepala itu, polis turut menjalankan ujian DNA ke atas dua kes orang hilang dalam tempoh sebulan lalu namun keputusannya negatif.

Selepas lapan bulan, Ashari hari ini mengesahkan mayat berkenaan dikenal pasti sebagai Istiqomah Ahmad Rozi, 33, yang dilaporkan hilang pada 27 Disember 2023.

Beliau berkata risikan Bahagian Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) polis Melaka dengan kerjasama JSJ Johor serta Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah, menahan sepasang suami isteri berusia 36 dan 37 tahun di Chemor, Perak dan dibenarkan reman selama tujuh hari pada 6 Ogos.

Polis kemudian mendapat perintah sambung reman selama tujuh hari lagi bermula hari ini hingga 19 Ogos.

– BERNAMA


Pengarang :