Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menghadiri pertemuan bersama Perdana Menteri India, pertukaran MOU antara dua negara dan sidang media bersama di Hyderabad House ketika lawatan rasmi di New Delhi, India pada 20 OGOS 2024. Foto SADIQ ASYRAF/Pejabat Perdana Menteri
AGENDANASIONAL

Anwar kecam kelemahan tindakan antarabangsa tangani genosid di Gaza

NEW DELHI, 21 OGOS: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam mengulangi kritikan mengenai kurangnya tindakan komuniti antrabangsa dalam menangani kekejaman terhadap rakyat Palestin di Gaza, dan menggesa supaya “mesej yang jelas” disebarluaskan, bahawa genosid yang sedang berlaku perlu ditamatkan.

Beliau berkata Israel telah melakukan pembunuhan begitu ramai, namun tidak banyak tindakan diambil di peringkat antarabangsa mengenainya.

Beliau mengakui ramai yang bercakap menyuarakan pandangan mengenai ‘genosid di Ukraine’, namun apabila lebih 40,000 orang terbunuh di Palestin, mereka menganggapnya sebagai ‘kesan peperangan’ dan menerimanya begitu sahaja.

“Ini benar-benar mengejutkan, dan saya anggap ia sebagai satu hipokrasi.. Hipokrasi ini perlu ditamatkan,” katanya semasa sesi soal jawab selepas menyampaikan syarahan dalam satu perjumpaan badan pemikir di sini, Selasa.

Anwar kini berada di India untuk lawatan rasmi selama tiga hari bermula Isnin.

Terdahulu hari ini dalam hantaran di platform X, Anwar berkata “sebarang perkembangan bermakna kearah keamanan perlu bermula dengan menghentikan semua tindakan ketenteraan dan keganasan terhadap rakyat Palestin oleh Israel”.

– BERNAMA


Pengarang :