Sekumpulan kanak-kanak bermain di tengah puing runtuhan bangunan di Bandar Gaza ketika sambutan Aidilfitri pada 11 April 2024. Foto REUTERS
AGENDAGLOBAL

AS, Mesir, Qatar desak rundingan gencatan senjata Gaza diadakan 15 Ogos

KUALA LUMPUR, 9 OGOS: Pemimpin Amerika Syarikat (AS), Mesir dan Qatar mengeluarkan kenyataan bersama menggesa Israel dan Hamas menyambung semula rundingan gencatan senjata dan perjanjian pembebasan tawanan.

Kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Presiden AS Joe Biden, Presiden Mesir Abdel Fattah el-Sisi dan Emir Qatar Sheikh Tamim Hamad Al Thani, mencadangkan rundingan segera diadakan pada 15 Ogos di Doha atau Kaherah.

“Ketiga-tiga (AS, Mesir dan Qatar) dan pasukan kami bekerja tanpa henti selama berbulan-bulan untuk menyediakan perjanjian kerangka kerja yang kini siap dengan hanya tinggal butiran pelaksanaan yang perlu dimuktamadkan,” kata pemimpin dalam kenyataan hari ini.

Perjanjian ini berasaskan prinsip yang digariskan Presiden Biden pada 31 Mei 2024 dan disokong oleh Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) 2735, menurut kenyataan itu.

“Tiada lagi masa untuk dibazirkan mahupun alasan daripada mana-mana pihak untuk menangguhkannya. Sudah tiba masanya untuk membebaskan tawanan, memulakan gencatan senjata dan melaksanakan perjanjian ini.

“Sebagai orang tengah, jika perlu, kami bersedia untuk mengemukakan cadangan yang menyelesaikan isu pelaksanaan yang masih ada dengan cara memenuhi jangkaan semua pihak,” menurut kenyataan itu.

Pemimpin juga menegaskan bahawa sudah tiba masanya untuk memberikan “kelegaan” kepada penduduk Gaza yang telah lama menderita serta kepada tawanan dan keluarga mereka yang lama menunggu.

“Sudah tiba masanya untuk memuktamadkan perjanjian gencatan senjata dan pembebasan tawanan serta tahanan,” kata mereka.

Israel yang melanggar resolusi Majlis Keselamatan PBB yang menuntut gencatan senjata segera, berdepan kecaman antarabangsa di tengah-tengah serangan yang berterusan di Gaza sejak 7 Oktober.

– BERNAMA


Pengarang :