Atlet negara, Muhd Azeem Fahmi ketika beraksi dalam acara 100 meter lelaki pusingan awal pada Sukan Olimpik Paris 2024, di Arena Stade De France pada 3 Ogos 2024. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Azeem terkandas, catat 10.45 saat acara pecut 100m

PARIS, 3 OGOS: Penampilan sulung jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi di Sukan Olimpik Paris 2024, terhenti pada pusingan pertama selepas sedikit tergelincir pada acara 100 meter (m) lelaki hari ini.

Atlet berusia 20 tahun itu gagal ke separuh akhir, selepas menduduki tempat terakhir (kesembilan) dengan 10.45 saat (s) pada saringan kedua pusingan pertama di Stade de France.

Catatan itu jauh tersasar daripada rekod kebangsaan 10.09s miliknya yang dilakukan pada Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun di Cali, Colombia pada Ogos 2022.

Pelari dari Kenya Ferdinand Omanyala mengungguli saringan itu dengan catatan 10.08s, diikuti Chituru Ali dari Itali (10.12s) dan Joshua Hartmann (10.16s) dari Jerman.

Hanya tiga pelari teratas dalam lapan saringan dan bersama tiga atlet lagi yang mencatatkan masa terbaik melayakkan diri ke pusingan separuh akhir.

Muhammad Azeem terdahulu mara ke pusingan pertama selepas menamatkan saringan 1 pusingan awal di tempat kedua dengan catatan 10.42s, di belakang Ebrahima Camara (10.29s) dari Gambia.

Muhammad Azeem yang ditemui selepas perlumbaan ternyata kecewa dengan keputusan tersebut apabila sepanjang ditemu bual media Malaysia, beliau banyak menundukkan kepala.

Namun, beliau berjanji untuk bangkit lebih kuat bagi mempertahankan gelaran Raja Pecut Malaysia, selain bercita-cita untuk melayakkan diri secara merit ke Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

“Tadi ada tergelincir sikit…bukan keputusan yang saya nak, tapi saya cuba beri yang terbaik selepas harungi musim yang tidak baik. Berada dalam pentas Olimpik ini impian terbesar semua atlet, saya sangat bersyukur berada di sini dan untuk peluang ini, tetapi kecewa dengan diri sendiri kerana tak mampu pamer prestasi baik,” katanya.

Menurut Muhammad Azeem, beliau tidak pernah terfikir untuk sampai ke Olimpik dan mengalami kegagalan seperti hari ini, namun beliau mengambilnya sebagai pengajaran besar dalam hidup dan melihat perjalanannya masih jauh sebagai seorang atlet yang baru berusia 20 tahun.

Pada Sukan Asia Hangzhou September lepas, Muhammad Azeem meraih gangsa dengan catatan 10.11s, sekali gus menamatkan penantian lebih empat dekad negara untuk podium reben biru itu sejak Datuk Rabuan Pit memperoleh emas dalam edisi 1982 di New Delhi, India.

Pusingan separuh akhir dijadualkan berlangsung pada 8.05 malam Ahad (2.05 pagi Isnin di Malaysia), diikuti final 9.50 malam (3.50 pagi di Malaysia).

Rekod dunia dan Olimpik acara itu masih milik legenda Jamaica Usain Bolt, masing-masing dengan catatan 9.58s (Ogos 2009 di Berlin) dan 9.63s (Ogos 2012 di London).

-BERNAMA


Pengarang :