Jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang memenangi emas acara pecut lelaki elit Kejohanan Berbasikal Trek 2024 di Velodrom Nasional pada 21 Mei 2024. Foto Facebook Azizulhasni Awang
AGENDASUKANKINI

Azizulhasni, Shah Firdaus susun strategi Sabtu ini, sasar emas keirin

KUALA LUMPUR, 8 OGOS: Percaturan strategi memburu pingat emas Sukan Olimpik Paris 2024 seakan sudah disusun rapi oleh kem berbasikal trek negara terutama buat dua pelumba, Datuk Azizulhasni Awang dan Shah Firdaus Sahrom.

Semalam, Azizul mengakhiri acara pecut dalam saingan 1/8 apabila tewas di tangan pelumba Belanda, Jeffrey Hoogland dan tersingkir di repechages pecut individu – skrip yang hampir sama seperti di edisi Tokyo 2020.

Bezanya, legenda Britain, Jason Kenny yang menewaskannya di repechages 1/8 tiga tahun lalu dan kali ini pelumba pecut nombor satu dunia dari Poland, Mateusz Rudyk pula menunjukkan jalan keluar sekali gus gagal untuk sekurang-kurangnya mengulangi pencapaian Beijing 2008 dan London 2012.

Shah Firdaus pula tewas di pusingan 1/32 kepada pelumba Israel, Mikhail Yakovlev dan hasratnya untuk meneruskan kemaraan melalui peluang terakhir di repechages 1/32 juga menemui jalan buntu apabila dinafikan oleh Vasilijus Lendel dari Lithuania.

Namun di sebalik keputusan di Velodrom Saint-Quentin-en-Yvelines semalam, ia bagaikan sudah boleh difahami Azizul dan Shah Firdaus sebenarnya sedang mengatur langkah untuk memburu pingat dalam acara kegemaran mereka keirin bermula Sabtu ini, lapor Berita Harian.

Bayangan itu sudah digambarkan Azizul dalam satu sesi temu bual bersama media pada April lalu menyatakan mereka akan mengambil pendekatan hampir sama seperti di Tokyo 2020.

“Seperti di Tokyo, kita akan sertai pecut dulu. Kita akan lihat bagaimana dulu (dalam acara pecut), kalau kita ke final atau tersekat dan nampak jalan ke final itu sukar, jadi kita akan ‘go off’ (lepaskan).

“Seperti di Olimpik lalu, mungkin ramai yang tidak tahu, ketika berlumba dengan Jason Kenny, sebenarnya kita boleh menang tetapi saya memperlahankan kayuhan kerana kita tak nak ke pusingan seterusnya kerana kita akan lumba banyak kali dan penat.

“Kita mahu simpan tenaga untuk keirin… jadi kita akan menyertai acara pecut untuk melihat keadaan. Kalau boleh pergi, kita pergi dan kalau tidak, kita terpaksa tarik diri dan simpan tenaga untuk keirin kerana keirin adalah acara pilihan utama untuk saya dan Shah.

“Itu (keirin) peluang untuk pingat dan segala-galanya… dalam keirin,” kata Azizul, pelumba berasal dari Dungun, Terengganu atau dikenali dengan julukan The Pocket Rocketman pada April lalu.

Untuk rekod, Azizul yang membuat penampilan kelima di pentas Olimpik pada Paris 2024 berjaya meraih pingat perak acara keirin di Tokyo 2020 dan gangsa di Rio 2016.

 


Pengarang :