Wakil rakyat DUN Dusun Tua Datuk Johan Abdul Aziz
ADNSELANGOR

Balai bomba bakal dibina di Dusun Tua, penuhi keperluan penduduk

Oleh DEWI ABDUL RAHMAN

SHAH ALAM, 20 OGOS: Sebuah balai bomba bakal dibina di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua.

Wakil rakyatnya berkata ia bagi menampung kes kecemasan selain memudahkan khidmat bantuan disalurkan kepada penduduk kawasan itu.

“Kawasan Dusun Tua masih belum ada kemudahan balai bomba. Bomba datang dari Bangi, Kajang dan tempat lain sekiranya berlaku kecemasan atau kebakaran.

“Alhamdulillah sebuah tapak bomba sudah digazetkan,” kata Datuk Johan Abdul Aziz.

Johan berkata pembinaan balai bomba berkenaan menjadi keperluan mendesak kerana jarak balai bomba terdekat mengambil masa kira-kira 20 minit untuk tiba ke kawasan Dusun Tua.

“Dengan adanya kemudahan itu di lokasi berdekatan, akan dapat memberi perkhidmatan yang lebih cepat,” katanya ketika siaran langsung program audio siar Apa Cer YB Musim 2 di Media Selangor hari ini.

Selain balai bomba, beliau turut memaklumkan tentang perancangan untuk membina sekolah atas tapak baharu bagi mengatasi isu kepadatan pelajar di DUN itu.

“Selain balai bomba, infrastruktur lain seperti sekolah juga bakal dibina atas tapak baharu bagi menampung jumlah pelajar yang semakin ramai.

“Alhamdulillah, tanah seluas 140 ekar bakal dibangunkan berhampiran Sungai Tekali, Hulu Langat dan pemaju bersetuju membina kemudahan seperti diminta,” katanya.


Pengarang :