Bas milik Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri terbabas dalam parit di Jalan Simpang Morib di Kampung Kelanang, Banting pada 21 Ogos 2024. Foto ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor
AGENDANASIONAL

Bas terbabas ke parit, tujuh penumpang parah, pemandu tersepit

SHAH ALAM, 21 OGOS: Enam kakitangan mahkamah di sini dan seorang pembantu pemandu parah berikutan bas yang dinaiki mereka terbabas di Jalan Simpang Morib di Kampung Kelanang di Banting dekat sini hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor Wan Md Razali Wan Ismail berkata pemandu kenderaan tersebut pula tersepit dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari.

Beliau memberitahu seramai 14 penumpang cedera ringan selepas bas milik Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri itu terbabas ke parit sedalam kira-kira dua meter.

“Semua mangsa termasuk pembantu pemandu bas berusia 30 hingga 40-an dirawat di zon kuning Hospital Banting,” katanya.

Wan Md Razali percaya kemalangan tersebut berlaku apabila bas berkenaan dipercayai cuba mengelak sebuah motosikal sebelum penunggangnya melarikan diri.

Menerima berita berkenaan, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berharap semua mangsa yang mengalami kecederaan sembuh segera selepas menerima rawatan.

“Doakan agar mereka semua selamat dan menerima rawatan serta sembuh segera,” katanya di Facebook petang ini.

Bas milik Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri terbabas dalam parit di Jalan Simpang Morib di Kampung Kelanang, Banting pada 21 Ogos 2024. Foto ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor

 


Pengarang :