KUALA LUMPUR, 4 OGOS: Bintang skuasy muda negara Aira Azman berjaya mempertahankan gelaran juara pada Kejohanan Skuasy Kebangsaan 2024 selepas menewaskan kakaknya Aifa di Kompleks Sukan Negara, Jalan Duta, hari ini.
Pada pertarungan final antara adik-beradik itu, Aira selaku penyandang juara hanya memerlukan tempoh 29 minit untuk menewaskan Aifa, 11-7, 11-5, 10-12, 11-5 sekali gus muncul juara buat dua edisi berturut-turut.
Terdahulu, Aira mara ke pentas final selepas menundukkan Sehveetrraa Kumar 8-11, 11-9, 11-5, 2-11, 11-3 di pusingan separuh akhir.
“Sangat gembira melangkah ke final bersama-sama kakak saya. Saya rasa telah bermain dengan baik… tetapi lebih kepada kekuatan mental kami. Aifa juga mahu menang dan saya pula mahu pertahankan gelaran juara,” katanya selepas tamat perlawanan.
Aira akan mengalihkan tumpuan mewakili kontinjen Kedah pada saingan skuasy Sukan Malaysia (SUKMA) yang akan berlangsung di Sarawak bermula 17 hingga 24 Ogos ini.
Dalam pada itu, naib juara edisi lepas, Muhammad Addeen Idrakie Bahtiar merangkul gelaran kebangsaan sulungnya bagi kategori lelaki selepas menumpaskan Mohd Syafiq Kamal 11-9, 11-3, 9-11, 11-5 dalam tempoh 59 minit.
-BERNAMA