AGENDAJENAYAH

Bot bawa 30 pendatang tanpa izin hanyut lapan hari akibat rosak

IPOH, 12 OGOS: Polis menahan sebuah bot yang hanyut bersama 30 pendatang tanpa izin warga Indonesia, kira-kira 9.8 batu nautika dari Tanjung Hantu Segari di Perairan Manjung, semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung ACP Mohamed Nordin Abdullah berkata pihaknya menerima maklumat daripada Polis Marin yang menahan sebuah bot kayu jenis pom-pom pada 8.34 malam.

“Setelah menahan bot itu, pihak Polis Marin membuat pemeriksaan dan menahan seorang tekong bot dan 29 individu termasuk lima wanita warga Indonesia kerana disyaki masuk ke negara ini tanpa pas perjalanan sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata hasil siasatan awal mendapati kesemua warga asing itu dipercayai berkumpul di sekitar Sabak Bernam, Selangor sebelum menaiki bot berkenaan pada 3 Ogos lalu.

Menurut Mohamed Nordin, bot itu mengalami kerosakan menyebabkannya hanyut kira-kira lapan hari sebelum dikesan Polis Marin.

Kes disiasat di bawah Sekysen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen (6)(1)(c) Akta Imigresen 1959.

– BERNAMA


Pengarang :