AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Cekap selesai aduan sampah, iClean Selangor rekod 150,000 pengguna aktif

SHAH ALAM, 2 OGOS: Aplikasi iClean Selangor yang dibangunkan KDEB Waste Management (KDEBWM) bagi membuat aduan kutipan sampah dan pembersihan awam, merekod sekitar 150,000 pengguna aktif.

Diperkenal pada 2016, aplikasi itu menurut Pengarah Urusannya Dato’ Ramli Mohd Tahir sangat efisien untuk menyelesaikan masalah dengan mengesan lokasi pengadu yang berdaftar.

“Ia mengatasi batasan di mana anda tinggal, dengan jarak tepat melalui geolokasi di telefon pintar bagi memastikan aduan dapat diselesaikan dengan tuntas.

Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM) Dato’ Ramli Mohd Tahir berucap sempena majlis menandatangani perjanjian kerjasama penyelidikan diantara KDEB Waste Management dan Universiti Utara Malaysia (UUM) di Hotel Mardhiyyah, Shah Alam pada 12 Julai 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

“Bagi memastikan capaian iClean meluas, KDEBWM giat mempromosi di media sosial dan hebahan lain,” katanya, yang menyasar 200,000 pengguna aktif menjelang hujung tahun ini.

iClean Selangor, yang boleh dimuat turun di Google Play dan App Store, membolehkan penduduk membuat aduan kutipan sisa pepejal sama ada sampah domestik, pukal atau pembersihan awam.

Menerusinya, pengadu hanya perlu pihak berkuasa tempatan, jenis aduan dan huraian masalah. Aplikasi tersebut akan mengesan lokasi pengadu dan membenarkan proses memuat naik gambar.

Untuk dua tahun berturut-turut sejak 2023, aplikasi tersebut juga diiktiraf sebagai Aplikasi Perkhidmatan Awam Terbaik dalam Anugerah PC.Com.


Pengarang :