BUDAYARENCANA

Cermin

Oleh Osman Ayob
Iliustrasi FAHMI MUSTAFFA

Hari ini merupakan hari pertama aku bekerja. Dari beberapa jenis kerja yang aku minta, kerja ini – sebagai juru jual di sebuah kedai cermin mata, mendahului tawaran dan aku tanpa banyak kerenah menerimanya dengan senang hati.

Debaran semakin ketara sebaik aku memasuki kompleks membeli-belah utama di bandar raya K. Kedai yang terletak di tingkat bawah bersebelahan dengan deretan kedai makanan segera dan serbaneka memang menjadi tumpuan ramai.

Aunty Melisa menyambut kedatangan aku dengan wajah ceria. Sebagai tuan punya kedai, aku diberi taklimat ringkas tentang tugas utama aku, melayan pelanggan dengan sebaik-baiknya. Kejayaan aku terletak kepada hasil jualan dan secara langsung mempopularkan nama kedai yang mempunyai hanya satu pesaing.

“Anggapkan pelanggan pertama yang datang, ada ong,” ujar Aunty Melisa dengan muka manis. Dia yang berbadan seksi macam selebriti mengendalikan sendiri kedai yang baru dibuka sejak dua bulan dahulu.

Aku sedar, kehadiran aku mempunyai tanggungjawab yang besar. Aku mesti beraksi sebaik-baiknya. Skil komunikasi aku dalam melayan pelanggan teruji sepenuhnya. Ijazah sarjana muda pentadbiran perniagaan yang aku genggam menandakan komitmen aku untuk melaksanakan tugas dengan dedikasi.

“Selain ada ong, pelanggan pertama yang masuk kedai kita, punyai persepsi tersendiri,” ujar Aunty Melisa lagi sebelum beredar ke dalam. Dia ada banyak urusan dalam biliknya. Tinggal aku menanti sesiapa antara orang ramai yang melintas depan kedai.

Sekonyong-konyong aku melihat seorang lelaki separuh usia, berbadan tegap bertanya sesuatu pada seorang pemuda yang memintas di hadapannya. Pemuda itu memimpin tangan lelaki yang memakai tongkat putih untuk berjalan. Nyata lelaki itu, OKU.

“Sini!” ujar pemuda itu sambil menghalakan tongkat putih ke dalam kedai.

“Assalamualaikum.” Aku melembutkan suara semerdu mungkin.

Lelaki itu melangkah dengan sebaris senyuman. Aku percaya dia buta walaupun kedua belah matanya cantik dengan pelupuk mata dan kening yang mengancam.

“Sila duduk, pak cik!” Aku memegang tongkatnya dan memandu dia duduk di hadapan aku.

Lelaki itu duduk di sisi meja cermin mata model baru.

Dari aksinya, aku yakin lelaki itu tidak nampak apa-apa di persekitarannya.

“Saya datang ni nak cari cermin mata yang betul-betul istimewa,” katanya setelah meletakkan tongkat di sisi dan kedua-dua belah tangannya berada di atas cermin. Dia tidak memerhati pun ke dalam meja cermin.

Aku percaya lelaki ini buta sepenuhnya.

“Ada banyak jenis, pak cik,” jelas aku lalu mengeluarkan beberapa cermin mata hitam. Tentu sesuai untuknya melaram.

“Carilah, jenis mana pun.” Lelaki separuh umur berambut lebat separuh uban itu bersuara serius. “Saya mahu pakai supaya dapat melihat keindahan dan tingkah-laku manusia dalam dunia ni sepuasnya.”

Satu kejutan memukul dada. Bagaimana lelaki ini mahu melihat dunia sedangkan dia buta?

Deretan cermin mata hitam yang aku pamerkan di hadapannya semacam tidak dipedulikan walaupun disentuh dan diraba-raba. Nyata dunianya gelap gelita.

“Yang ada cermin mata hitam inilah.” Aku melenturkan suara sebaik mungkin.

“Hitam putih saya tak kira.” Suara lelaki itu membentak. “Saya mahu cermin mata yang boleh saya pakai untuk melihat apa saja yang saya ingini.”

Aku bagaikan kehilangan kata-kata. Teori dan amali komunikasi yang aku pelajari selama ini telah terbantut.

“Telinga saya ni mendengar, merdunya suara orang yang duduk di depan saya.” Lelaki itu berhenti sebentar. Pelupuk matanya naik turun tetapi bola mata tetap tidak berfungsi. “Alangkah eloknya ada cermin mata yang boleh saya melihat rupa paras orang yang sedang bercakap dengan saya ni.”

Wau…aku cuba bersabar. Orang tua ni barangkali nak menggatal dengan aku?

Aku sedar, Aunty Melisa di dalam bilik tentu memerhati aku. Sejauh mana aku dapat berkomunikasi dengan lelaki tua pada hari pertama aku bekerja ini?

“Kedai ni hanya menjual cermin mata.” Aku cuba mencari alasan yang dapat diterimanya. “Jika pak cik hendak perkhidmatan penglihatan mata, pak cik boleh mencari pakar bagi mendapat khidmat nasihat tentangnya.”

“Jadi kedai ni tak ada cermin mata yang saya mahu?” Lelaki itu mula melenting.

Aku mengangguk, walaupun lelaki itu tidak dapat melihat anggukan aku.

“Kedai ni tak efisienlah!”

Sambil menggeleng, lelaki itu tergagau sebentar sebelum mencapai tongkat.

Aunty Melisa menapak ke sisi aku. Dia yang dengar semua butir perbualan aku, lantas bersuara, “Jika tuan mahu khidmat nasihat mengenai cermin mata yang tuan ingini, tuan boleh ke hujung sana.”

“Hujung mana?” Lelaki tua itu macam tercabar. Dia sudah bangun memegang tongkat.

Aunty Melisa memegang tongkat dan lelaki itu pantas mengikut.

“Dari sini, tuan boleh jalan terus hingga ke hujung aras bangunan ini.” Aunty Melisa sudah berada di luar kedai. Di celah orang yang bersimpang-siur, dia menunjukkan arah yang perlu dituju.

“Apa nama kedai tu?”

“Kedai Cermin Mata Poulatika Dunia.” Aunty Melissa ingat benar nama itu, satu-satunya pesaing di kompleks yang gah ini.

“Nak jumpa siapa?” lelaki tua itu membetulkan tongkat.

“Tuan boleh jumpa Waibi Mamaijaya.” Aunty Melisa macam mahu cepat orang tua itu melangkah pergi. “Jika dia tak ada, tuan tanya Waibi City Jayanti Maya.”

“Glamor nama tu.” Lelaki tua itu amat tertarik. “Orang politik tu.”

“Ya, mereka orang politik.” Aunty Melisa menambah. “Kedua-duanya pakar untuk melihat dalam apa jua keadaan. Sama ada yang putih atau hitam. Yang hijau atau biru. Yang oren atau ungu.”

“Wah, ada harapanlah saya kali ini.”

“Mestilah.” Aunty Melisa memuji. “Tuan akan dapat apa saja yang tuan ingini.”

Lelaki aneh itu terus membuka langkah. Semua orang memberi laluan, malah ada yang menolongnya melangkah ke tempat tuju.

“Kamu jangan gusar.” Aunty Melisa memberi semangat. “Ada banyak kerenah manusia lagi kamu akan temui. Kompleks ini adalah tumpuan pelbagai jenis watak manusia termasuk OKU, penagih dadah dan pemabuk. Selain tempat melepak, di sini juga ada mini pawagam. Kompleks ini juga ada pentas teater, termasuk kelas bimbingan lakonan yang memenuhi minat masyarakat pasca-Covid.”

Aku mengangguk. Teringat pelbagai peristiwa aneh yang sedang berpencak di seluruh negara akibat gejala sosial yang menyusup ke dalam jiwa manusia yang sakit dan hilang arah dalam kehidupan yang kompleks.

 

 


Pengarang :