Ahli Dewan Negeri Meru Mariam Abdul Rashid berucap pada majlis penyerahan baucar Skim Mesra Usia Emas di Pasaraya Econsave, Kapar pada 7 Ogos 2024. Foto SHEEDA FATHIL/MEDIA SELANGOR
ADNSELANGOR

Dana RM220 juta bina tebatan banjir DUN Meru, dijangka siap sepenuhnya 2029

KLANG, 7 OGOS: Sebanyak RM220 juta diperuntuk bagi melaksana projek tebatan banjir di beberapa kawasan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Meru.

Wakil rakyatnya berkata projek yang bermula sejak Januari lalu dikendali oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menggunakan peruntukan kerajaan persekutuan.

“Pembinaan projek tebatan banjir ini membabitkan kawasan berisiko bah antaranya termasuklah Jalan Hamzah Alang, Fairy Park, Sungai Binjai dan Sungai Palong.

“Projek kolam tadahan air yang bermula awal tahun ini dijangka siap sepenuhnya 2029,” katanya Mariam Abdul Rashid ketika ditemui dalam satu majlis di Pasaraya Econsave di sini, hari ini.

Mengulas persediaan jangka pendek bagi menghadapi banjir, Mariam berkata pihaknya bersama JPS dan Jabatan Kerja Raya sentiasa memastikan saliran di DUN Meru kerap diselenggara.

“Kita yakin apabila siapnya projek tebatan banjir itu nanti kemungkinan besar banjir tidak lagi melanda kawasan terlibat malahan penduduk juga tidak perlu berasa bimbang,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Mariam berkata pihaknya turut menggesa Majlis Bandaraya DiRaja Klang (MBDK) segera menaik taraf saliran di Taman Daya Maju di sini.

“Ia berikutan di kawasan ini walaupun taburan hujan sedikit tetapi tidak sampai tempoh 24 jam air akan mulai masuk ke rumah penduduk sekitar.

“Longkang di situ berusia lebih 20 tahun dan sudah tidak mampu menampung air yang banyak. Alhamdulillah, saya dimaklumkan MBDK telah tender projek ini dan kerja menaik taraf bakal dilaksana tidak lama lagi,” katanya.


Pengarang :