Atlet Selangor Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal memenangi pingat emas acara lumba lari 200m wanita dalam Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20 di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 18 September 2022. Foto Facebook MSN SELANGOR
AGENDABERITA UTAMASUKANKINI

Danish Iftikhar, Nur Afrina Batrisyia, raja dan ratu pecut SUKMA 2024

KUCHING, 19 OGOS: Danish Iftikhar Muhammad Roslee dan Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal masing-masing dinobatkan raja dan ratu pecut Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 selepas mendominasi acara 100 meter (m) hari ini.

Danish Iftikhar mencatatkan 10.53 saat (s) untuk menang pingat emas buat Johor, menafikan cabaran sengit dua lagi pelumba Danish Irfan Tamrin dan Muhammad Erfain Feerzan Qhan Mohd Yazid yang masing-masing meraih perak dan gangsa.

Danish Irfan dari Selangor merakam kepantasan 10.60s manakala Muhammad Erfain dari Pahang terpaksa berpuas hati di tempat ketiga dengan catatan masa 10.66s.

“Semua pesaing memberikan yang paling hebat, saingan paling kuat dari separuh akhir sampai final. Saya tak fikir apa-apa, saya cuma percaya pada rezeki dan tawakal sebab saya sudah buat terbaik dan berlatih dengan gigih.

“Saya memang letak sasaran untuk menang emas dan bantu Johor,” kata Danish Iftikhar, 17, ketika ditemui di Stadium Sarawak.

Danish Iftikhar berharap dapat meneruskan momentum positif hari ini, untuk membantu Johor meraih emas dalam acara 200m esok dan 4x100m Jumaat ini.

Pada masa sama, atlet Selangor Nur Afrina Batrisyia mempamerkan larian bertenaga untuk membawa pulang emas 100m wanita selepas mengungguli saingan dengan 11.64s, yang juga rekod baharu temasya SUKMA 2024.

Nur Afrina Batrisyia memadam rekod berusia 16 tahun milik Siti Fatima Mohamad dari Johor 11.82s yang dilakukan pada SUKMA 2008 di Terengganu.

“SUKMA kali ini edisi terakhir saya dan ini semestinya ia sasaran saya untuk memecahkan rekod SUKMA dan menang pingat emas buat Selangor.

“Saya juga bersyukur kerana dapat memperbaharui rekod SUKMA dan sebenarnya catatan peribadi terbaik saya menyamai rekod SUKMA,” kata atlet berusia 20 tahun itu.

Saingan olahraga yang menawarkan keseluruhan 47 pingat emas berlangsung selama lima hari bermula hari ini.

– BERNAMA


Pengarang :