Pemilik selaku guru besar, Rusliza Pechok memantau sesi pembelajaran murid Tadika Cilik Ria, Sungai Buloh pada 27 Jun 2024. Foto Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMABUDAYARENCANA

Dari asnaf, ibu tunggal ikat perut pertahan tadika

Teringin menghantar anak ke tuisyen, ibu tunggal pula menjadi guru kepada anak-anak jirannya. Dari situ, Rusliza Pechok, 52, membuka tadika pula, memberi didikan awal kepada kanak-kanak.

Berbekal modal kecil dan bantuan barangan terpakai, beliau gigih membangunkan Tadika Cilik Ria sejak 2014 hingga bilangan anak muridnya mencecah 90 orang lima tahun kemudian.

Bergelut kemiskinan sekian lama, beliau yang menjadi asnaf Lembaga Zakat Selangor (LZS) sejak 2010 juga bingkas bangkit sebaik negara pulih daripada terpaan pandemik Covid-19.

Hasil bantuan kewangan dan bimbingan Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (Teras), anak syarikat LZS, Rusliza memperbesar tadikanya di Paya Jaras pada 2015, tahun sama keluar daripada senarai asnaf.

Anak peneroka Felda Bukit Mendi, Triang Pahang berkelulusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia itu mulanya hanya memberi tunjuk ajar kepada anak-anaknya dalam bidang pendidikan.

“Kalau boleh hendak hantar anak masuk tuisyen sebab mahu tengok anak-anak berjaya tetapi kalau hantar tuisyen bayarannya agak mahal. Jadi saya ajar sendiri di rumah,” katanya ketika ditemui pada 27 Jun.

Mereka dididik berdisiplin melangsaikan kerja rumah dan mengulang kali pelajaran. Kesungguhan beliau, ditambah keinginan empat anaknya untuk cemerlang dalam pelajaran, membuahkan hasil.

Tiga anaknya meraih 5A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah. Kejayaan itu mendorong jirannya menghantar anak untuk dididik Rusliza. Rumahnya ‘bertukar’ menjadi pusat tuisyen.

Menginsafi kemiskinannya, bergantung hidup dengan gaji guru tadika RM450 sebulan selain bantuan LZS, beliau hanya mengenakan yuran RM50 satu kepala untuk semua mata pelajaran.

Pendapatan tambahan itu dihimpunnya berdikit-dikit sekitar RM5,000 dan dijadikan modal untuk membuka Tadika Cilik Ria. Beliau menyewa sebuah rumah RM400 dan membuat pengubahsuaian.

Perabot termasuk meja, kerusi dan papan tulis pula sumbangan bekas majikan tadika tempat beliau bekerja. Cukup untuk kegunaan 16 kanak-kanak berusia antara empat hingga enam tahun.

Hasil pertambahan bilangan anak murid, lokasi tadika dipindah ke sebuah bangunan lebih besar pada 2015, tidak jauh dari tempat asal. Wanita itu juga beroleh bantuan kewangan Teras.

Rusliza menggunakan wang RM11,000 itu untuk kerja ubah suai dan menambah kelengkapan tadika lantaran bilangan anak muridnya mencecah 90 orang. Beliau juga menggaji lima guru dan seorang pembantu.

Pada tahun sama, beliau keluar dari senarai asnaf, suatu yang dianggapnya sebagai kejayaan penting dalam onak kehidupannya.

“Saat paling saya tidak boleh dilupakan, pertama kali ke kaunter untuk membayar zakat. Rasa terharu. Dahulu ambil bantuan tetapi kali ini datang bayar zakat,” katanya dengan mata berkaca.

Pemilik selaku guru besar, Rusliza Pechok memantau sesi pembelajaran Tadika Cilik Ria, Sungai Buloh pada 27 Jun 2024. Foto Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Harung cabaran

Apabila Covid-19 menular dan Perintah Kawalan Pergerakan pada Mac 2020 dikuat kuasa, Rusliza cekal mengharung cabaran. Walau tiada pendapatan, sewa bulanan dilunas menggunakan wang simpanan sepanjang enam bulan tadika tidak beroperasi.

“Nasib baik ada duit simpanan. Masa itu, ikat perut sikit sebab hendak berjimat. Makan apa yang ada sahaja,” katanya sambil mengenang keperitan masa lalu, saat kemiskinan mencengkam.

Rusliza sedar kesusahan itu tidak seburuk lalu. Pernah anak perempuan patah tangan, terpaksa beliau sewa kereta ke Hospital Sungai Buloh walau duit di tangan tidak seberapa.

Apabila kawalan dilonggar termasuk tadika boleh dibuka semula dengan kawalan ketat, beliau meneruskan operasi premis berkenaan.

“Boleh dikatakan yuran bulanan tadika saya antara yang murah di Paya Jaras, RM150 seorang. Ada ibu bapa lambat bayar, saya tidak tekan atau paksa suruh bayar sebab kita faham kadang-kadang orang ada masalah,” katanya.

Beliau bersyukur kerana berupaya meningkatkan taraf hidup keluarga manakala dua anaknya berjaya menamatkan pengajian peringkat universiti dan memperoleh pekerjaan baik.

“Kepada asnaf lain, walaupun susah mana pun kita jangan abaikan pelajaran untuk anak-anak. Jangan putus asa, kerja kuat, selalu berdoa dan dekatkan diri kepada-Nya,” kata beliau.

 


Pengarang :