Gambar hiasan. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Diserang sekumpulan gajah ketika menoreh, warga emas maut dipijak

KLUANG, 3 OGOS: Seorang wanita warga emas maut dipercayai dipijak gajah di kebun getah Felcra Batu 29, Kahang, berhampiran Kampung Sri Lukut di sini hari ini.

Ketua Kampung Sri Lukut Yusuf Ibrahim berkata Misirah Saniman, 75, yang hidup sebatang kara di sebuah rumah berhampiran kebun getah itu diserang sekumpulan kira-kira 10 gajah yang dipercayai mula memasuki kawasan kebun getah berkenaan tengah malam tadi.

“Misirah dipercayai diserang ketika menoreh getah tidak jauh dari rumahnya kira-kira 7 pagi tadi sebelum ditemukan meninggal dunia di lokasi itu.

“Mayatnya kini ditempatkan di Klinik Kesihatan Kahang sebelum urusan pengebumian dilakukan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Yusuf berkata satu laporan kejadian itu telah dibuat di Balai Polis Kahang serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kluang untuk tindakan selanjutnya.

Ketua Polis Daerah Kluang ACP Bahrin Mohd Noh ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkaitan kejadian dan memaklumkan siasatan lanjut sedang dilakukan.

 

— BERNAMA


Pengarang :