Bot Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM). Foto arkib Selangorkini
AGENDAJENAYAH

Dua anggota APMM cedera diserang nelayan warga Vietnam

KUALA TERENGGANU, 21 OGOS: Dua anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu cedera selepas bergelut dengan nelayan asing Vietnam di sempadan perairan negara kira-kira 125 batu nautika dari Kuala Terengganu petang semalam.

Pengarahnya Kepten Maritim Khairul Anuar Abd Majid berkata Lt Madya Yusuf Kamal dan Laskar Kanan Maritim Mujibur Rahman Mat Jusoh masing-masing cedera di bahagian rusuk kiri, tangan serta kaki akibat diserang dengan objek tajam dalam kejadian kira-kira pukul 6.45 petang itu.

Beliau berkata kejadian berlaku apabila kumpulan nelayan dalam bot berkenaan bertindak agresif ketika anggota APMM yang menjalankan Op Naga Barat cuba menahan mereka yang dipercayai menceroboh perairan negara untuk menangkap ikan.

“Semasa pasukan menggeledah dari KM RAWA sedang memeriksa bot nelayan asing tersebut, tiba-tiba kesemua nelayan asing yang berada di atas bot berkenaan bertindak agresif dengan menyerang anggota berkenaan.

“Akibat serangan, dua anggota cedera ketika cuba mempertahankan diri manakala seorang lagi anggota terjatuh ke dalam laut semasa pergelutan berlaku, namun berjaya diselamatkan oleh kru KM RAWA,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Khairul Anuar berkata sewaktu kejadian sebuah kapal penguatkuasa negara Vietnam juga didapati turut berada berhampiran lokasi dan cuba mengganggu tugas pasukannya yang mahu menahan kesemua nelayan terbabit.

Beliau berkata KM RAWA telah mengusir bot nelayan dan kapal penguat kuasa tersebut keluar dari perairan negara bagi mengawal situasi getir itu sebelum berpatah balik ke jeti Maritim Terengganu untuk memberikan rawatan kepada mangsa.

“Ketiga-tiga mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah dan kesemua mereka kini dilaporkan stabil serta dipantau rapi pihak hospital,” katanya.

— BERNAMA


Pengarang :