AGENDAJENAYAH

Dua maut, empat cedera kereta rempuh jengkaut

SEREMBAN, 14 OGOS: Dua maut, empat cedera apabila kereta dinaiki mereka merempuh jengkaut yang sedang membantu kerja pemasangan kabel di persimpangan lampu isyarat Kampung Gelam, Port Dickson, dekat sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Aidi Sham Mohamed berkata yang maut dalam kejadian 1.45 pagi itu ialah pemandu lelaki berumur 24 tahun dan penumpang wanita yang merupakan pelajar kolej berusia 18 tahun.

Beliau berkata empat lagi penumpang yang berumur lingkungan 16 hingga 19 tahun cedera manakala pemandu jengkaut tidak mengalami sebarang kecederaan.

Aidi Sham berkata berdasarkan siasatan awal kejadian berlaku ketika kereta dari arah Port Dickson menghala ke Seremban cuba mengelak ‘kon’ di jalan berkenaan semasa tiba di lokasi, menyebabkannya terbabas dan merempuh jengkaut yang sedang menggali lubang untuk pemasangan kabel bawah tanah.

“Akibat pelanggaran pemandu serta penumpang kereta itu tersepit dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum dihantar ke Hospital Port Dickson untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan orang ramai atau saksi yang mempunyai maklumat berkenaan kemalangan itu boleh berhubung dengan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Port Dickson di talian 06-6472222.

– BERNAMA


Pengarang :