Ahli Dewan Negeri Meru Mariam Abdul Rashid berucap pada majlis penyerahan baucar Skim Mesra Usia Emas di Pasaraya Econsave, Kapar pada 7 Ogos 2024. Foto SHEEDA FATHIL/MEDIA SELANGOR
ADNSELANGOR

DUN Meru anjur sambutan Hari Kemerdekaan, tawar pelbagai aktiviti menarik

KLANG, 7 OGOS: Dewan Undangan Negeri (DUN) Meru bakal menganjurkan program sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos ini di Dataran Penghulu, Pekan Meru.

Wakil rakyatnya Mariam Abdul Rashid berkata program itu turut mendapat kerjasama Jawatankuasa Tetap Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat.

“Program bermula jam 9 pagi hingga 11 malam itu menawarkan pelbagai aktiviti menarik kepada pengunjung antaranya cabutan bertuah, persembahan, jualan dan turut dibuka kaunter Iltizam Selangor Penyayang.

“Kita mengalu-alukan penduduk berhampiran hadir pada hari tersebut bagi memeriahkan lagi sambutan Hari Kemerdekaan,” katanya selepas Majlis Penyerahan Baucar Skim Mesra Usia Emas di Pasaraya Econsave, Kapar, di sini.

Dalam perkembangan sama, Mariam berhasrat untuk menghidupkan kembali nostalgia wayang pacak di DUN Meru sekurang-kurangnya sebulan sekali.

“Kita baharu selesai mengadakan program menonton wayang pacak bersama penduduk dengan kerjasama Jabatan Penerangan Klang. Sambutan diterima cukup memberangsangkan.

“Saya amat teruja melihat keharmonian kaum apabila wujudnya program seumpama ini. Saya bercadang anjurkan tontonan wayang pacak di Meru sekurang-kurangnya sebulan sekali selepas ini,” katanya.


Pengarang :