Dato’ Seri Amirudin Shari ketika merasmikan pameran bertemakan ‘Liburan Sehat, Ya di Selangor Aja,’ yang diadakan di Tunjangan 6, Surabaya, Indonesia pada 1 Ogos 2024. Foto Facebook Amirudin Shari
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Ekspo kesihatan di Surabaya promosi rawatan yang ada di Selangor

SHAH ALAM, 1 OGOS: Kerajaan Negeri menganjurkan pameran pelancongan perubatan, MHExpo di Surabaya, Indonesia mulai hari ini hingga 4 Ogos.

Dato’ Menteri Besar berkata program dijalankan Tourism Selangor dengan Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC) itu bertujuan mempromosi Selangor sebagai negeri yang mempunyai perkhidmatan kesihatan terbaik.

Jelas Dato’ Seri Amirudin Shari, sebanyak 11 hospital menyertai pameran berkenaan antaranya Avisena Specialist Hospital, KPJ Healthcare Berhad, Sunway Medical Centre, MSU Medical Centre dan Subang Jaya Medical Centre.

“Kajian mendapati ramai penduduk Surabaya datang ke Malaysia untuk menjalani rawatan namun pergi ke Pulau Pinang dan Melaka.

“Selangor harus merebut peluang ini kerana memiliki lebih 50 hospital dan pusat perubatan yang menawarkan rawatan khusus antarany obstetrik dan ginekologi, gastroenterologi serta penyakit berjangkit selain memiliki doktor pakar,” katanya.

Terdahulu beliau merasmikan pameran bertemakan ‘Liburan Sehat, Ya di Selangor Aja,’ yang diadakan di Tunjangan 6, Surabaya. Turut hadir EXCO Pelancongan Dato’ Ng Suee Lim.

Amirudin berkata kempen berkenaan juga sebagai usaha mempromosi Tahun Melawat Selangor 2025 yang menyasarkan kehadiran lapan juta pelancong tahun depan.

“Kita yakin pelancong dari Indonesia bakal mendapatkan hospitaliti dengan fasiliti terbaik sepanjang berada di Selangor.

“Ini terbukti dengan peningkatan 62.5 peratus kehadiran pelancong Indonesia tahun lalu sebanyak 168,000 berbanding 103,000 pelancong tahun sebelumnya,” katanya.

 


Pengarang :