Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) Mohd Hasry Nor Mohd beramah mesra dengan kakitangan MPKL pada 1 Ogos 2024. Foto Facebook MPKL
PBTSELANGOR

Elak kerja separuh jalan, selesai aduan secara tuntas – yang dipertua MPKL

KUALA LANGAT, 1 OGOS: Kakitangan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) perlu meningkatkan kualiti perkhidmatan terutama dalam menyelesaikan aduan penduduk secara tuntas.

Yang Dipertuanya Mohd Hasry Nor Mohd menegaskan sikap bekerja separuh jalan perlu dielakkan dan digantikan dengan intergriti dalam menjalankan tugas yang diamanahkan.

“Apabila terima aduan, kita kena selesaikan. Tidak separuh jalan. Dalam sistem mengatakan selesai, hakikatnya di tapak tidak selesai. Kita tidak mahu perkara begitu berlaku.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) Mohd Hasry Nor Mohd menerima pengakuan menerima jawatan di ibu pejabat MPKL pada 1 Ogos 2024. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/MEDIASELANGOR

“Kalau boleh, tidak ada aduan perkara sama berulang. Maknanya setelah aduan selesai di tapak, baru kita letak aduan itu sebagai selesai,” katanya selepas majlis pengakuan menerima jawatan hari ini.

Terdahulu, turut berlangsung majlis pengakuan menerima jawatan lima ahli majlis lantikan baharu MPKL berkuat kuasa 17 Julai 2024 hingga 31 Disember 2025 di hadapan Mohd Hasry.

Mohd Hasry, 46, yang berkhidmat sebagai penjawat awam bermula 2005 merupakan lulusan Ijazah Sarjana Pengurusan Sumber Tanah dari Universiti Putra Malaysia.

Beliau sebelum ini juga pernah memegang jawatan yang dipertua Majlis Perbandaran Hulu Selangor.

 


Pengarang :