AGENDAJENAYAH

Enam lelaki ditahan menyamar kontraktor TM, curi kabel

KUALA LUMPUR, 5 OGOS: Enam lelaki ditahan kerana disyaki mencuri kabel Telekom Malaysia (TM) di Jalan Besar Enggang AU2 dekat Ampang, Sabtu lepas.

Ketua Polis Ampang Jaya ACP Mohd Azam Ismail berkata kesemua suspek berusia lingkungan 20 hingga 32 tahun.

Beliau berkata pasukan dari Balai Polis Hulu Kelang mengesan lima lelaki melakukan kerja penyelenggaraan dan seorang lagi berada di dalam lurang (manhole) sedang memotong kabel pada 2.45 pagi.

“Siasatan awal mendapat semua suspek terbabit menyamar sebagai kontraktor TM yang sedang menyelenggara projek bagi mengaburi pihak berkuasa semasa melakukan kesalahan berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati suspek telah memotong kabel serta dalam proses menarik keluar kabel TM itu dan seorang daripada suspek telah kenalkan diri sebagai penyelia dan menunjukkan surat penyelenggaraan TM dalam telefon,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Azam berkata pihak TM dipanggil ke tempat kejadian dan surat tersebut disahkan palsu.

Beliau berkata polis turut merampas sebuah van jenis Nissan Vanette, sebuah kereta pacuan empat roda Mitsubishi Triton, beberapa papan tanda jalan, beberapa unit kon, kemeja-T TM dan mesin pemotong rantai dan besi.

“Kesemua suspek telah direman selama empat hari sehingga esok dan kes disiasat di bawah Seksyen 431A Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan membencanakan kabel dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.

— BERNAMA

 


Pengarang :