Kakitangan syarikat penyelenggara jalan negeri Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) giat melaksanakan kerja baik pulih dan menurap Jalan Cross Ban 1, Sabak Bernam pada 8 Ogos 2023. Foto Twitter Infrasel
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: Negeri peruntuk RM20 juta teruskan projek turap jalan mega tahun ini

SHAH ALAM, 1 OGOS: Projek Turapan Mega diteruskan tahun ini melibatkan peruntukan RM20 juta bagi memastikan jalan dalam keadaan baik sekali gus menjamin keselamatan pengguna.

EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim berkata menerusi peruntukan tambahan Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS), projek melibatkan semua laluan termasuk jalan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kampung.

“Sekarang kita buka permohonan bawah Jabatan Kerja Raya. Pusat khidmat, ketua kampung boleh membuat permohonan. Sebelum ini kita baiki ikut had daerah tapi kali ini kıta utamakan permohonan awal dan tahap kerosakan serius.

“Bermula tahun ini, projek mega akan dibuat secara tahunan. Ini lebih berkesan dan jalan hanya perlukan kos selenggara sahaja berbanding kita labur kos tinggi untuk laksana projek dalam tempoh empat atau lima tahun sekali,” katanya ketika ditemui dalam satu majlis di Damansara semalam.

EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim bercakap kepada media selepas meninjau kerja mendalamkan dan pembersihan Sungai Klang di Zon 6, Alam Impian, Shah Alam pada 8 Februari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Tahun lalu, Kerajaan Selangor mengeluarkan belanja RM50 juta bagi projek turapan jalan raya secara mega meliputi penyelenggaraan dan pelebaran jalan untuk meningkatkan kemudahan penduduk dan dijalankan secara menyeluruh.

Meliputi jarak 94.9 kilometer, kerja penyelenggaraan itu melibatkan 66 jalan di Petaling diikuti Klang (39), Gombak (29), Hulu Langat (27), Sepang (19), Sabak Bernam (17), Kuala Langat (16), Kuala Selangor (11) dan Hulu Selangor (lapan).

Pemilihan jalan untuk kerja baik pulih itu berdasarkan aduan tertinggi daripada orang awam yang dilaporkan menerusi Twitter atau aplikasi Infrasel kendalian anak syarikat negeri, Infrasel Sdn Bhd (Infrasel).

Sejak 2021 hingga tahun lalu, lebih 39,000 kerja turapan jalan dilaksanakan Infrasel bagi memastikan keselesaan pengguna.


Pengarang :