Peserta mengikuti seminar disampaikan Pengarah Urusan Edgenta Greentech Sdn Bhd, Veknekwaran T Arasappan bertajuk Smart Green Building “Integration of AI and IOT ketika majlis perasmian Simposium Pengurusan Strata Kelas Pertama 2024 di Resorts World Awana, Genting Highlands, Pahang pada 1 Ogos 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR
EXCOSELANGOR

EXCO: Selangor mahu Akta 757 dikaji semula, bantu pemilik rumah strata

GENTING HIGHLANDS, 1 OGOS: Kerajaan Negeri berharap Akta 757 yang mengawal selia penyenggaraan dan pengurusan bangunan strata dikaji semula bagi menjamin kesejahteraan penduduk.

EXCO Perumahan Borhan Aman Shah berkata isu pengurusan strata sudah berlarutan puluhan tahun namun negeri tidak mempunyai bidang kuasa khusus untuk membantu.

“Saya harap ia (Akta 757) dikaji semula dan diperkasa. Kita terikat kerana negeri tiada bidang kuasa. Kalau ada penambahbaikan, negeri boleh masuk sikit untuk kita bantu.

“Masalah strata ini paling besar dan berlarutan puluhan tahun. Ia menjadi cabaran kepada kita. Saya juga diarahkan Dato’ Menteri Besar supaya fokus pada pengurusan strata,” katanya pada sidang media.

Terdahulu beliau merasmikan Simposium Pengurusan Strata Kelas Pertama 2024 anjuran Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) di Resort World Awana di sini, hari ini.

Hadir sama Yang Dipertua MPKS Mohamad Hanafee Basri. Lebih 150 peserta dari pelbagai agensi seluruh negara menyertai simposium dwitahunan berkenaan.

EXCO Perumahan Borhan Aman Shah bercakap kepada media selepas majlis perasmian Simposium Pengurusan Strata Kelas Pertama 2024 di Resorts World Awana, Genting Highlands, Pahang pada 1 Ogos 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Dalam pada itu, Borhan menambah pengurusan bangunan strata membabitkan perumahan kos rendah antara cabaran terbesar Badan Pengurusan Bersama (JMB) termasuk masalah sosial dan setempat.

“Kita mahu Akta 757 ini dibincang semula. Jika dilaksanakan, kita perlukan kos tahunan RM65 juta dan saya harap kita dapat kerjasama daripada kerajaan untuk beri geran khas atau sebagainya,” katanya.

Pada 17 Julai lalu, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dilapor berkata pindaan Akta 757 sedang diperhalusi semula bagi membolehkan fungsi, tugas dan penguatkuasaan dapat dilaksanakan dengan lebih efektif.

Menurut Datuk Aiman Athirah, beberapa sesi libat urus bersama pemegang taruh dilakukan untuk mendapatkan pandangan serta cadangan berkaitan penambahbaikan akta berkenaan.


Pengarang :