Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melihat replika Rumah Selangorku Lagenda Ardea selepas majlis pecah tanah di tapak pembinaan Lagenda Ardea, Bernam Jaya, Hulu Selangor pada 3 Mei 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: Selangor sasar bina 200,000 rumah mampu milik menjelang 2026

GENTING HIGHLANDS, 1 OGOS: Selangor berada pada landasan betul bagi merealisasi pembinaan 200,000 rumah mampu milik menjelang 2026, kata EXCO Perumahan.

Borhan Aman Shah berkata program dilaksana bawah Rumah Selangorku itu mensasarkan pembinaan 40,000 unit rumah setiap tahun, dengan setiap projek kini berjalan mengikut jadual.

“Kita sasar bina 200,000 rumah mampu milik sehingga 2026, dengan setiap tahun 40,000 unit rumah. Berdasarkan rekod, ia sedang dicapai dan kita pantau pembinaannya.

“Kita juga telah pindahkan Dasar Perumahan Rumah Selangorku 2.0 kepada 3.0 yang turut bantu bina Rumah Idaman dan Rumah Harapan bagi projek Smart Sewa,” katanya pada sidang media.

EXCO Perumahan Borhan Aman Shah berucap ketika majlis perasmian Simposium Pengurusan Strata Kelas Pertama 2024 di Resorts World Awana, Genting Highlands, Pahang pada 1 Ogos 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Terdahulu beliau merasmikan Simposium Pengurusan Strata Kelas Pertama 2024 anjuran Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) di Resort World Awana di sini, hari ini.

Hadir sama Yang Dipertua MPKS Mohamad Hanafee Basri. Lebih 150 peserta dari pelbagai agensi seluruh negara menyertai simposium dwitahunan berkenaan.

Dalam pada itu, Borhan menambah lebih 1,000 unit kediaman Smart Sewa disediakan Kerajaan Negeri sejak skim berkenaan diperkenal pada 2015.

Menurutnya banyak pemaju menyatakan minat membantu membina kediaman Smart Sewa yang turut menawarkan pelbagai kemudahan seperti kawasan tempat kereta dan kolam renang.

“Skim ini tidak ada di negeri lain, hanya di Selangor. Sekarang ini sudah ada lebih 1,000 unit rumah dan saya yakin akan tercapai 3,000 unit rumah Smart Sewa menjelang tahun depan,” katanya.

Skim Smart Sewa memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana untuk memiliki kediaman sendiri.

Dengan tempoh sewaan maksimum lima tahun, penyewa akan diberi pemulangan sewaan sebanyak 30 peratus daripada jumlah sewaan bersih yang dibayar apabila mereka tidak lagi tinggal di unit berkenaan.

Peserta mengikuti ucapan EXCO Perumahan Borhan Aman Shah ketika majlis perasmian Simposium Pengurusan Strata Kelas Pertama 2024 di Resorts World Awana, Genting Highlands, Pahang pada 1 Ogos 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR
EXCO Perumahan Borhan Aman Shah menerima cenderahati ketika majlis perasmian Simposium Pengurusan Strata Kelas Pertama 2024 di Resorts World Awana, Genting Highlands, Pahang pada 1 Ogos 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Pengarang :