BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Farid Kamil susut 16kg jiwai watak Rashid Sidek dalam Gold

Oleh Intan Syuhada Akhir

Pelakon Farid Kamil berlatih selama sebulan setengah memukul lebih 2,000 bulu tangkis sehari semata-mata mahu menjiwai watak legenda badminton negara Datuk Abdul Rashid Mohd Sidek.

Memegang watak utama filem Gold, beliau menurunkan berat badan 16 kilogram melalui kaedah diet supaya tubuhnya seakan-akan pemenang gangsa Olimpik di Amerika Syarikat pada 1996 itu.

Farid mengambil masa kira-kira 10 jam untuk melakonkan semula adegan perlawanan akhir Piala Thomas 1992 yang memaparkan Rashid menentang pemain Indonesia Ardy Wiranata yang ditonton menerusi televisyen ketika berumur 11 tahun.

Artis berumur 43 tahun itu teruja melakonkan watak tersebut dan puas dapat menjayakan adegan perlawanan meski mengambil masa kira-kira 10 jam supaya produksi mendapat babak terbaik.

“Memang kami peruntuk tenaga untuk selesaikan perlawanan dalam tempoh itu. Sepanjang penggambaran, Alhamdulillah saya tidak cedera, sekadar lenguh di bahu dan tangan.

“Perkara paling mustahak dalam membawakan watak seorang legenda masih hidup ialah bagaimana menjelmakan pemikirannya dalam diri,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Gold yang ditayang mulai 11 Julai menampilkan kisah benar pemain badminton negara Cheah Liek Hou yang menghidap penyakit saraf Erb’s Palsy. Liek Hou kemudian menang emas Sukan Paralimpik Tokyo 2020 hasil bimbingan Rashid.

Rashid pemain badminton terkenal sekitar 1990-an termasuk pemain perseorangan nombor satu dunia pada 1997. Anak kelima pasangan Dato’ Mohd Sidek Abdullah dan Datin Rukinah Sulaiman menang Piala Thomas pada 1992 dan emas Olimpik (1996) dan emas Sukan Komanwel (1990).

Liek Hou pula pemenang emas Paralimpik Tokyo 2020. Bergelar juara dunia perseorangan enam kali antara 2019 hingga 2021, atlet kelahiran Kuala Lumpur itu meraih dua perak Sukan Para Asia di Hangzhou pada 2022.

Bagi menghidupkan watak Rashid, Farid turut menjalani latihan ketat bersama skuad badminton kebangsaan selama tiga jam setiap hari dalam tempoh sebulan setengah itu.

Jaguh badminton

“Pernah saya buat permintaan untuk bermain badminton satu gelanggang dengan Rashid. Cuma, jadualnya padat kerana melatih skuad muda. Saya cuma sempat berjumpa sekali dan berbual-bual.

“Rashid tidak banyak bercakap, sekadar bercerita tentang pertandingan Piala Thomas, buku lalinya sakit. Ketika itu, kepakaran perubatan tidak secanggih sekarang. Namun, beliau kuatkan semangat untuk menang,” katanya.

Farid juga mendedahkan Rashid dorongan utama beliau memegang raket pertama ketika zaman kanak-kanak lantaran negara dilanda demam badminton apabila Malaysia menjulang Piala Thomas.

Pada masa itu, kebanyakan ibu bapa berangan-angan melihat anak mereka membesar sebagai jaguh badminton seperti anak-anak Sidek.

“Ketika Rashid menang Piala Thomas, ramai ibu bapa mahu anak mereka belajar badminton,” kata Pelakon Filem Lelaki Popular 2004 yang kali terakhir bermain kira-kira 30 tahun lalu.

Farid percaya filem bertema sukan tersebut berupaya menyuntik semangat kepada kontinjen negara untuk membawa pulang pingat emas Olimpik.

“Semoga mereka merasai perasaan dan perjuangan pemenang pingat emas dan memberi inspirasi untuk berjuang habis-habisan,” kata beliau lagi.


Pengarang :