AGENDAJENAYAH

Gagal pulangkan motosikal pinjam, lelaki cedera ditikam rakan

KUALA LUMPUR, 18 OGOS: Seorang lelaki cedera dengan empat kesan tikaman pada bahagian badan dalam insiden perselisihan faham dengan rakannya di sebuah pangsapuri di Semenyih, Selangor petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata pihaknya menerima laporan pada 2.52 petang berhubung kejadian terbabit dan siasatan awal mendapati perselisihan faham itu berpunca daripada tindakan suspek yang gagal memulangkan motosikal milik mangsa yang dipinjam bulan lepas.

“Akibat dimarahi, suspek mengambil pisau sebelum mengejar dan mencederakan mangsa semasa pertemuan mereka di rumah kakak mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Naazron berkata mangsa berusia 23 tahun itu yang bekerja sebagai pembantu kuari, mengalami kecederaan di bahagian belakang pinggang dan bahu sebelah kiri dan kini masih dirawat di Hospital Kajang serta dilaporkan stabil.

Berikutan itu, polis katanya sedang mengesan seorang lelaki lingkungan 30-an bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

“Masyarakat dinasihatkan sentiasa tenang dalam menyelesaikan apa jua permasalahan dan tidak mengambil tindakan yang melanggar undang-undang di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian atau suspek, boleh menghubungi balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat kes Insp Mohamad Faeez Norzah menerusi talian 013-2773407 bagi membantu siasatan.

– BERNAMA

 


Pengarang :