Pasangan beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik tewas pada saingan suku akhir di Arena Porte de la Chapelle, Paris dalam kejohanan Terbuka Perancis pada 8 Mac 2024. Foto Facebook Persatuan Badminton Malaysia
AGENDASUKANKINI

Gagal tewaskan beregu China, Aaron Chia-Wooi Yik tekad raih gangsa

PARIS, 2 OGOS: Selepas tidak berjaya memecahkan ‘tembok besar’ China bagi merealisasikan impian meraih pingat emas Sukan Olimpik Paris 2024, gandingan beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik mahu berjuang untuk membawa pulang satu lagi pingat gangsa yang berharga.

Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu tewas 19-21, 21-15, 17-21 kepada beregu utama dunia Liang Wei Keng-Wang Chang dari China dalam pertarungan separuh akhir yang sengit.

Juara dunia 2022 itu seterusnya akan berdepan cabaran beregu nombor dua dunia dari Denmark Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dalam penentuan gangsa pada Ahad.

Aaron berkata walaupun terlepas peluang untuk menukar warna pingat pada kali ini, sebutir gangsa tetap berharga dan bermakna buat negara.

“Kami telah melakukan yang terbaik tetapi tidak mendapat hasil yang kami inginkan. Kita bermain dengan cara yang betul tetapi pukulan tidak tepat dan kami melakukan banyak kesilapan.

“Kita masih ada satu lagi perlawanan, jadi kita perlu hadir dengan permainan yang betul kerana mahu membawa pulang pingat,” katanya selepas perlawanan itu.

Sementara itu, Wooi Yik berkata mereka tidak mahu memberikan tekanan tinggi terhadap diri sendiri kerana mempunyai pengalaman beraksi dalam penentuan pingat gangsa pada edisi lepas.

“Tak kira keputusan apa, kita akan cuba berikan sehabis baik. Perlawanan tadi sangat sengit dan kita telah bagi yang terbaik untuk cabar mereka, mungkin di mata penting atau beberapa ketika, kita terburu-buru.

“Kita cuba untuk kembali fokus tetapi menuju ke penghujung, tak dapat kawal walaupun kita cuba untuk bertenang. Saya rasa mereka lebih baik (dalam kawal perlawanan dan emosi),” katanya.

Satu lagi aksi separuh menyaksikan juara bertahan Lee Yang-Wang Chi Lin dari Taiwan bangkit dari ketinggalan satu set untuk menewaskan Astrup-Rasmussen 18-21, 21-17, 21-10.

Pada separuh akhir Olimpik Tokyo 2020, Aaron-Wooi Yik dikecewakan gandingan China Li Jun Hui-Liu Yu Chen sebelum mengejutkan bekas juara dunia Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan dari Indonesia untuk membawa pulang gangsa.

-BERNAMA


Pengarang :