Ahli Dewan Negeri Kampung Tunku Lim Yi Wei berucap pada Festival Startup PJ di Starling Mall pada 17 Ogos 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR
ADNSELANGOR

Gaji rendah antara punca individu mahir bidang STEM hijrah ke luar negara

Oleh Danial Dzulkifly

PETALING JAYA, 18 OGOS: Gaji rendah, infrastruktur tidak mencukupi dan kurangnya pelaburan menjadi antara faktor utama yang menyumbang kepada kemerosotan dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Ahli Dewan Negeri Kampung Tunku Lim Yi Wei berkata situasi berkenaan turut memberi kesan domino yang membawa kepada kurangnya inovasi teknologi dalam negara.

Katanya, keadaan ini juga menyukarkan usaha menarik rakyat tempatan mahir dalam bidang STEM yang bekerja di luar negara untuk kembali ke bekerja di Malaysia.

“Terutama dalam sektor awam atau pendidikan tinggi apabila ia melibatkan sains, terdapat isu seperti gaji rendah, kekurangan kemudahan dan peralatan, peluang pengkomersialan terhad dan tidak stabil.

“Jika kerajaan tidak melabur, bagaimana kita mahu kembangkan R&D (penyelidikan dan pembangunan) bidang ini. ni mungkin menyebabkan berlakunya kekurangan inovasi teknologi di Malaysia,” katanya.

Berucap pada Festival Startup PJ 2024 di Starling Mall di sini semalam, Yi Wei berkata bagaimanapun kerajaan sudah mengubah dasar dengan menyediakan pelbagai inisiatif bagi membangunkan bidang berjenaan.

“Usaha ini bertujuan untuk memajukan negara dalam rantaian nilai global dan mencapai status negara berpendapatan tinggi,” katanya.


Pengarang :